Semua pelajar dan kakitangan perpustakaan Universiti Canberra Australia tidak tentu arah apabila mereka diarahkan keluar gara-gara ‘kebocoran gas’.

Seramai 550 orang telah diarahkan untuk memberi kerjasama dengan mengosongkan bangunan itu dalam masa kurang dari 6 minit sebelum sepasukan bomba tiba untuk membuat pemeriksaan.

Namun begitu, setelah pemeriksaan dilakukan, pihak bomba mendapati bahawa bau berkenaan datang daripada buah durian dan bukannya kebocoran gas.

“Pasukan bomba telah selesai membuat pemeriksaan dan berjaya mengesan sumber bau.”

“Kami telah membuat pemantauan dan kawasan itu disahkan selamat. Bau itu datang daripada sebiji buah durian yang ditemui di dalam salah sebuah almari di perpustakaan universiti,” kata kenyataan dari Australian Capital Territory Emergency Services Agency.

“Mujurlah ia bukan kebocoran gas, hanya bau daripada buah durian,” coret pihak perpustakaan universiti berkenaan di laman Facebook.

Ini bukanlah kali pertama kejadian seperti ini berlaku.

Pada tahun lepas, perpustakaan di sebuah universiti di Melbourne juga terpaksa dikosongkan akibat bau daripada buah durian. Ramai yang menyangka bahawa berlaku kebocoran gas di perpustakaan itu.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda