Bau Durian Disamakan Dengan Najis Babi, Penulis California Ini Langsung Menolak Keenakan Durian

Durian merupakan antara buah-buahan asli di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Aromanya yang tajam dan kuat sangat menghairahkan buat pencinta durian walaupun kulitnya belum dibuka. Rasanya juga agak manis dan sangat berkrim.

Namun, tidak semua pencinta makanan menyukai bau dan rasa durian. Tambahan pula jika orang tersebut bukan penduduk asal Asia Tenggara. Rata-rata menyamakan bau durian sebagai bawang merah yang membusuk.

Dalam bukunya yang bertajuk ‘The Travelling Curmedgeon’, penulis makanan jalanan iaitu Richard Sterling mencoret yang bau durian persis najis babi, turpentin dan bawang merah serta sarung kaki gim yang kotor.

Penulis yang berusia 67 tahun ini adalah seorang pelayar dan jurutera sebelum menjadi jurnalis sepenuh masa.

Penulis itu juga menjelaskan bahawa durian dilarang dibawa masuk ke dalam kebanyakan hotel, stesen kereta api, lapangan terbang dan pengangkutan awam yang lain di Asia Tenggara kerana baunya yang tidak menyenangkan.

Hampir serupa komen seperti Sterling, hos rancangan televisyen bersiri ‘Bizarre Food’ iaitu Andrew Zimmern telah mencuba nasibnya merasai durian dengan melawat Malaysia untuk merakamkan detik itu ke dalam salah satu slot rancangannya. Sebaik sahaja isi buah itu memasuki ruang mulutnya, dia hampir muntah dan terus mengeluarkan raja segala buah itu daripada mulutnya di hadapan pemandu pelancong Malaysia.

“Benar-benar busuk, rasanya persis bawang merah yang masam,” katanya di hadapan kamera.

Mungkin mereka yang tidak membesar di negara yang rakyatnya mempunyai obsesi terhadap durian tidak biasa atau selesa dengan bau dan rasa durian.

Monica Tan, rakyat Malaysia yang menetap di Australia telah menghadiri pertandingan memakan durian dianjurkan sempena Festival Malaysia di Sydney.

Di dalam laman web miliknya sendiri, beliau menyatakan bahawa sewaktu kecil dulu bau durian baginya sangat menjijikkan. Kedua-dua orang tuanya merupakan penduduk asal Malaysia yang terkenal dengan jualan durian berderet di tepi jalan apabila musimnya kunjung tiba.

Dia berasa lucu bagaimana dirinya boleh melupakan bau itu dan menggilai rasa durian.

Katanya lagi, walaupun dia tidak berjaya memenangi antara 6 tempat teratas dalam pertandingan tersebut, dia berasa puas dan hari tersebut betul-betul menggamit memorinya semasa berada di Malaysia.

“Saya teringat kembali kenangan saya bersama sepupu saya di Malaysia. Bagaimana penjaja durian di tepi jalan menahan kereta kami dan kemudian kami isikan belakang kereta dengan durian segar yang sudah dibeli.”

“Seterusnya, kami membawa pulang durian-durian tersebut dan menghamparkan surat khabar di atas lantai. Dengan penuh kepakaran, sepupu saya membuka kulit durian sehingga menampakkan isinya yang nampak cukup selera,” coret Monica Tan di laman web itu.

Artikel Lain Untuk Di Baca