Batu Nisan Dan Air Kolah Berkocak Menjadi Tanda Tanya Di Masjid Ini

Masjid Jamek Kampung Dew terletak di daerah Gunung Semanggol, Perak yang berusia ratusan tahun ini menyimpan pelbagai kisah aneh antaranya kewujudan dua buah kubur yang terdapat di perkarangan masjid dan kisah air kolah yang dikocakkan oleh makhluk misteri ketika solat maghrib.

Di masjid itu terdapat sebuah kubur yang berada bersebelahan pintu masuk ruang solat dengan hanya sebuah batu nisan yang tidak mempunyai catatan nama pemilik sebagai penanda dan sebuah kubur lagi yang terletak di bahagian luar hadapan masjid.

Keberadaan kubur berkenaan telah menjadi tanda tanya orang ramai terutamanya orang luar dengan persoalan mengapa hanya dua buah kubur itu saja berada di situ sedangkan di bahagian belakang masjid, terdapat sebuah tanah perkuburan yang luas. Mengapa kedua-dua kubur tersebut tidak dipindahkan ke tanah perkuburan itu?

Salah seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai Abdul Rahim menceritakan, dahulu memang banyak kubur lama di sekeliling masjid itu. Apabila masjid itu hendak dibesarkan, kubur-kubur tersebut dipindahkan ke tapak baharu kecuali dua buah kubur tersebut.

“Tak ada sebab aneh pun dua kubur lama ini tidak dipindahkan. Alasannya adalah kerana waris kepada kedua-dua kubur ini tidak memberi keizinan untuk dipindahkan. Itu saja,” ujar Abdul Rahim.

Menurutnya, kewujudan dua makam lama di depan masjid itu memang selalu menimbulkan pertanyaan orang luar. Orang sangka ada misteri di sebalik kubur itu tetapi sebenarnya tidak.

Mengenai kisah misteri air kolah yang berkocak pula, Abdul Rahim memberitahu kejadian itu berlaku apabila jemaah yang solat di dalam masjid sering mendengar air kolah berkocak seakan-akan ada orang mengambil wuduk. Bunyi air kolah itu pula hanya muncul apabila mereka sedang membaca tahiyat akhir. Namun, tidak kelihatan sesiapa pun yang masuk ke dalam masjid selepas itu.

“Masa itu memang selalu dengar bunyi air kolah tu seakan-akan orang ambil wuduk. Pernah saya cuba nak tengok. Sebaik habis saja solat segera saya ke kolah tapi tak ada sesiapa pun sedangkan baru beberapa saat bunyi macam orang ambil wuduk. Kalau manusia takkan hilang sekelip mata saja,” kata Abdul Rahim.

Abdul Rahim juga menceritakan kejadian yang berlaku lebih kurang lapan tahun lalu ketika bulan Ramadan di mana waktu itu dia sampai awal ke masjid pada pukul 5 pagi untuk membuka pintu masjid bagi menunaikan solat subuh.

“Selepas saya buka pintu masjid dan masuk, saya terdengar satu suara menegur ‘masuk masjid tak bagi salam ke?’ Saya terkejut dengar suara itu. Saya toleh cari siapa yang tegur, tapi tak nampak sesiapa. Saya cari sekeliling masjid mana tahu ada orang, tapi tak nampak sesiapa. Habis, suara siapa yang tegur saya tu?” ujar Abdul Rahim.

Baginya mungkin ada ‘penghuni’ lain yang turut bersama-sama beramal di masjid itu dan mungkin ‘dia’ menegur Abdul Rahim kerana kurang beradab ketika masuk ke rumah Allah.

Bukan hanya Abdul Rahim yang merasai keanehan masjid itu, jemaah-jemaah lain juga sudah biasa mendengar bunyi-bunyian ganjil dalam masjid itu. Selalunya, bunyi-bunyi ini akan muncul ketika solat maghrib.

“Pernah masa saya solat dengar bunyi budak-budak lari. Memang dengar jelas macam ada ramai budak di belakang yang berlari-lari. Tapi sebaik saja selesai solat, bunyi itu pun berhenti. Toleh ke belakang, tak ada sesiapa pun,” kata Zainol yang juga penduduk di kampung ini.

Zainol juga bercerita tentang kejadian ketika dia membuka pintu masjid, “Selepas saya buka pintu masjid dan masuk, saya terdengar satu suara menegur ‘masuk masjid tak bagi salam ke?’ Saya terkejut dengar suara itu. Saya toleh cari siapa yang tegur, tapi tak nampak sesiapa.”

Tambah Zainol lagi, bunyi-bunyi aneh ini selalu muncul ketika jemaah tidak ramai datang ke masjid dan terutamanya ketika hari hujan.

Bukan hanya penduduk tempatan, bahkan ada orang luar juga pernah mengalami perkara aneh ini. Seorang jemaah tabligh yang menumpang bermalam di masjid itu menceritakan kepada penduduk, dia terjaga daripada tidurnya apabila terlihat kelibat empat orang lelaki berjubah putih masuk ke dalam masjid.

Keempat-empat lelaki itu masuk dan terus sembahyang. Seusai habis solat, empat lelaki itu terus ghaib begitu saja di depan jemaah tabligh itu.

Selain itu, pernah ada juga pengunjung yang menumpang tidur di masjid itu kerana hari sudah lewat malam. Dia turut mengalami kejadian aneh apabila dadanya terasa sesak seakan-akan dihimpit sesuatu. Apabila terjaga, dia menyambung tidur semula dan mengalami perkara sama.

Rupa-rupanya dia tidur di tengah ruang solat. Hanya selepas menukar tempat tidur di bahagian tepi masjid, barulah dia tidak lagi terasa dihimpit. Mungkinkah ada yang marah dia tidur di ruang tengah solat itu kerana mengganggu ‘tetamu ghaib’ yang mahu beribadah di situ?

Bunyi-bunyian bagai ada ‘penghuni’ lain yang turut datang ke masjid ini sudah didengari sejak sekian lama. Penduduk tempatan percaya, bukan hanya manusia yang bertandang ke masjid ini, namun ia turut didatangi ‘makhluk’ lain yang juga ingin beribadah kepada Yang Maha Esa.

Tak kisahlah siapa pun yang datang, bunian, jin Islam sekalipun, kehadiran tetamu-tetamu ghaib ini tujuannya tetap sama untuk tunduk dan sujud kepada-Nya. Amalkanlah adab ketika masuk ke masjid dengan mulakan langkah dengan kaki kanan, memberi salam dan berdoa:

أَعُوذُ بِاللهِ الْعَظِيمِ وَبِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ وَسُلطَانِهِ القَدِيمِ مِن الشَّيطَانِ الرَّجِيمِ ، اَللّهُمَّ اغْفِر لِي ذُنُوبِي وَافْتَح لِي أَبوَابَ رَحمَتِكَ

“Aku berlindung dengan Allah yang maha besar dan dengan wajahnya yang mulia dan kekuasaanNya yang Qodim daripada gangguan syaitan yang direjam. Ya Allah! ampunilah bagiku akan dosa-dosaku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu”

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca