Baru 30 Jam Dilahirkan, Bayi Ini Disahkan Positif Koronavirus

Seorang bayi di bandar Wuhan, China yang terjejas teruk dek wabak Koronavirus (2019-nCoV) dilaporkan positif novel penyakit itu selepas hanya 30 jam dilahirkan ke dunia.

Menurut laporan media tempatan China, bayi itu merupakan individu paling muda direkodkan dijangkiti virus berkenaan yang kini sudah meragut lebih 500 nyawa semenjak ia pertama kali dikesan lewat tahun lalu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pakar, bayi berkenaan mungkin dijangkiti melalui ibunya saat berada di dalam kandungan, semasa proses kelahiran atau sejurus selepas lahir.

Hasil siasatan lanjut kemudiannya mendapati ibu kepada bayi itu turut disahkan positif novel Koronavirus.

Agensi berita Xinhua sebelum ini melaporkan mengenai kelahiran bayi berkenaan kepada seorang ibu yang dijangkiti Koronavirus pada minggu lalu. Walau bagaimanapun, ujian yang dilakukan ke atasnya pada saat itu menunjukkan tanda negatif.

Penyakit Koronavirus dipercayai telah muncul semenjak bulan Disember tahun lalu di sebuah pasar makanan laut di Wuhan. Difahamkan, lokasi terbabit menjual beberapa jenis haiwan liar seperti musang, kelawar dan beruang koala.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan China melaporkan dalam satu kenyataan di mana individu paling tua yang disahkan dijangkiti Koronavirus berusia 90 tahun.

Selain itu, sebanyak 80 peratus kes kematian yang dilaporkan adalah melibatkan pesakit yang berada dalam lingkungan umur 60 tahun dan ke atas.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca