Barcelona telah berjaya merekodkan kemenangan ketiga daripada empat pertemuan menentang Real Madrid pada musim ini. Ini merupakan kekalahan kedua Real Madrid dalam masa empat hari. Kekalahan ini meletakkan pengendali Real Madrid, Santiago Solari dalam tekanan selepas pasukannya kini ketinggalan 12 mata di belakang gergasi Catalan itu dalam saingan liga.
Setelah menyingkirkan Real Madrid daripada Piala Raja Sepanyol Rabu lalu, Barcelona kembali ke Santiago Bernabeu dan mencatat kemenangan tipis 1-0. Kali ini, giliran Ivan Rakitic pula yang menambah derita Real Madrid dengan menjaringkan gol hasil daripada hantaran lambung pada minit ke-26.
Kini, persaingan untuk merebut kejuaraan liga mungkin semakin tipis buat Real Madrid. Namun begitu, mereka dilihat masih berpeluang untuk mempertahankan gelaran juara Liga Juara-Juara Eropah yang mereka menangi 3 edisi berturut-turut sebelum ini.
Dalam perlawanan tersebut, berlaku kontroversi di mana kedua-kedua kapten pasukan, Lionel Messi dan Sergio Ramos bertelagah selepas pemain pertahanan Real Madrid itu melibas tangan ke muka Messi.
Untuk rekod, ini adalah pertembungan Clasico yang ke-242 buat kedua-dua pasukan di mana Barcelona mengatasi Real Madrid dengan rekod kemenangan 96-95 dan seri 51 kali. Ini merupakan kali pertama Barcelona mendahului Real Madrid sejak Clasico bermula 87 tahun yang lalu.