Barcelona Bawa Pulang Hadiah Daripada Shaw

Manchester United memilih jalan yang sukar apabila tumpas 0-1 kepada Barcelona dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi tadi. The Red Devils bakal berdepan tugas getir apabila bertandang ke Nou Camp Selasa depan.

Gol tunggal perlawanan adalah hasil daripada jaringan sendiri pemain pertahanan United, Luke Shaw pada minit ke-12. Ini merupakan kekalahan pertama United di Old Trafford kepada kelab gergasi Sepanyol itu.

Gol tersebut membolehkan Barcelona pulang bersama kelebihan jaringan di tempat lawan. Ia berpunca daripada tandukan Luis Suarez yang tertampan bek kiri United itu sebelum bola menerjah jaring menewaskan penjaga gol, David de Gea.

Ketika Suarez merayakan gol tersebut, penjaga garisan sedikit merencatkan suasana selepas mengangkat bendera mengatakan bekas pemain Liverpool itu berada dalam kedudukan offside. Namun begitu, setelah diteliti oleh Video Bantuan Pengadil (VAR), gol tersebut disahkan.

Pada awal permainan, Barcelona jelas menguasai perlawanan tetapi United beraksi dengan lebih baik pada awal babak kedua. Namun begitu, tiada umpanan berbahaya yang dapat diberikan kepada jentera serangan United kerana kekurangan kreativiti di bahagian tengah.

Ketika United rancak memburu jaringan penyamaan, pengendali Barcelona, Ernesto Valverde bertindak memasukkan pemain tengah, Sergi Roberto dan Arturo Vidal bagi mengekang asakan dan mengimbangi tempo permainan.

United gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang lawan dan banyak bermain secara bertahan. Taktikal itu tampak menjadi buat United menghalang Barcelona memburu jaringan, namun ia menyebabkan perlawanan menjadi hambar.

Walaupun berada di landasan terbaik untuk melangkah ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh 4 tahun, kelab gergasi Catalan ini perlu berhati-hati dengan rekod kebangkitan hebat yang dimiliki United.

Sebelum ini, United menampilkan satu kebangkitan yang menakjubkan apabila bangkit daripada kekalahan 2-0 di gelanggang sendiri pada aksi pertama sekali gus mara menyingkirkan Paris Saint-Germain.

Aksi yang sama perlu diulangi oleh United di Nou Camp sekiranya bercita-cita untuk mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara. Mampukah The Red Devils mencipta keajaiban di stadium keramat Barcelona Selasa depan?

Artikel Lain Untuk Di Baca