Bapa Terkejut Anaknya Memindahkan Wang Sebanyak RM25,400 Kepada ‘Scammer’

Seorang bapa dikejutkan apabila anaknya yang berusia 12 tahun itu memindahkan wang sebanyak RM25,400 kepada scammer pada minggu lepas.

Bapa itu menyedari duit di dalam akaun banknya telah hilang setelah mendapati beberapa transaksi atas talian telah dilakukan melalui telefon bimbitnya.

Pada 28 April yang lalu, anak lelakinya yang berada di darjah enam itu menjumpai sebuah iklan di aplikasi Instagram yang menawarkan telefon pintar iPhone 11 Pro pada harga serendah RM500.

Anak lelaki itu telah menghubungi penjual tersebut menggunakan telefon bimbitnya sendiri dan berasa senang apabila dia telah ditawarkan dengan harga yang lebih murah iaitu RM400.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof melaporkan bahawa pada sekitar jam 5:15 petang, anak lelaki itu menggunakan telefon pintar ayahnya untuk memindahkan wang sebanyak RM400 kepada nombor akaun yang telah diberikan oleh ejen penjual telefon bimbit palsu tersebut.

Dia dikatakan telah memindahkan wang kepada ‘Sabrina’ menggunakan aplikasi perbankan atas talian tanpa pengetahuan bapanya.

Apabila anak lelaki itu bertanya bila dia akan menerima telefon tersebut, penjual itu menyuruhnya untuk menghubungi nombor yang lain.

Anak lelaki itu kemudiannya disuruh untuk memindahkan wang sebanyak RM1,350 untuk mengaktifkan kad waranti iPhonenya itu.

Para scammer tersebut terus memujuk anak itu untuk memindahkan lagi wang dan meyakinkan bahawa dia akan menerima telefon pintar idamannya itu tidak lama lagi.

Supt Wazir memaklumkan, anak itu mempercayai ejen-ejen tersebut dan terus melakukan lima lagi transaksi atas talian yang berjumlah sebanyak RM23,650 kepada nombor akaun yang diberikan oleh sindiket tersebut.

Beberapa jam kemudian, bapa kepada anak lelaki tersebut membuka aplikasi bank menerusi telefon bimbitnya dan mendapati beberapa ribu ringgit telah hilang dari akaun banknya itu. Bapa itu bersemuka dengan anaknya sebelum melaporkan perkara itu ke pihak polis.

Supt Wazir mengatakan kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pesalah akan dikenakan penjara maksimum selama 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabit bersalah.

Anak itu memberitahu pihak polis bahawa dia mempelajari cara-cara melakukan transaksi wang atas talian melalui video di YouTube.

Anak itu juga dikatakan telah memberitahu bahawa dia memerhatikan bapanya menggunakan aplikasi perbankan atas talian buat beberapa kali dan dapat mengenalpasti kata laluannya.

Oleh sebab anak itu telah menghubungi ahli sindiket itu sebanyak dua kali, pihak polis sedang mengenalpasti jika mereka juga telah mengajar anak itu cara untuk memindahkan duit dan cara untuk mendapatkan kod keselamatan.

Ketujuh-tujuh transaksi itu dilakukan dalam masa beberapa jam sahaja. Pihak polis menasihati agar para ibu bapa atau orang dewasa agar tidak melakukan transaksi atas talian di hadapan anak-anak mereka.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca