“Banyaknya Jubur Kat Rumah,” Lee Chong Wei Berkongsi Pengalamannya Lihat Orang ‘Panic Buying’

Peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19 di Malaysia membuatkan masyarakat kita hidup dalam kebimbangan. Beberapa hari yang lepas, seluruh pasar raya utama dibanjiri lautan manusia yang melakukan pembelian panik gara-gara terdapat penyebaran infografik palsu mengenai perintah lockdown di negara kita.

Turut berkongsi pengalaman melihat orang ramai berpusu-pusu membuat pembelian panik adalah pemain legenda badminton negara iaitu Datuk Lee Chong Wei. Cerita tersebut dikongsikan oleh bekas pemain nombor satu dunia itu di laman Instagram beliau sendiri pada Rabu.

View this post on Instagram

Dua hari lepas, ada khabar angin restriction order berkenaan coronavirus ni. So Mew Choo pon suruh pergi beli ape yg patut untuk 2 minggu ni. Wife add maths lagi terrer, so ikot shopping list wife. Family 4 orang, ayam 5 ekor, beras 1 bag, sayur 2 minggu, Maggie 2 pack, telor 2 dozen, buah, toilet paper 1 bag. Tapi time I sampai supermarket, aduhai! Ramainyer auntie2 makcik2, macam lumba marathon trolly! Kalah Khairul Jantan! Nasib baik sempat lagi kumpul shopping list wife. Tapi toilet paper I terlambat. Ternganga I tgk mamat depan I tapao 10 bag tisu jamban! Banyaknyer jubur kat rumah. (Toilet papers are important during previous pandemic period due to unclean water and psychological effect) Datang suatu suara menyeru dari belakang, ”Lee, nah amik bag ni. I terambik 2. Tadi tgk sumer rebut tapao wa pon terikot amik extra, ntah kenape, bukan I pakai untuk basuh pon!“ Dia Nazir, sahabat yang tinggal berhampiran. Kita tergelak and catch up sket. Selepas tu, makin ramai gangster trolly serbu, I pon terus cabut, sebab I tau virus ni merebak mudah. Kawan sekalian, saya berharap agar jangan cemas menghadapi krisis ini. Simpanlah makanan tapi berpatutanlah bilangannya. Dan I minta tolong semua duduk di rumah jgn keluar sementara ni. Jangan balik kampong macam cuti raya. Ko mungkin ok, tapi yg mati nnt orang tersayang. Percayalah, mimpi ngeri ini akan berakhir. Jangan panic. Kita warga Malaysia tak kira bangsa dan agama berganding bahu, bertolak ansur, tolong menolong, hari itu akan sampai dengan lebih cepat. Kepada frontliners, para doctor, missi, kakitangan hospital dan juga cashier pasaraya yang terus berkhidmat dalam masa ini. Terimalah tunduk kehormatan dari saya! Cara paling baik kita membalas budi dan bersumbang, is to #STAYHOME #JUSTSTAYATHOME #STAYHOMESAFELIFES #WEAREMALAYSIAN #MALAYSIABOLEH

A post shared by Datuk Wira Lee Chong Wei (@leechongweiofficial) on

Cerita Lee Chong Wei, isteri kesayangannya iaitu Mew Choo menyuruhnya pergi membeli apa yang patut memandangkan terdapat khabar angin tentang Perintah Sekatan Pergerakan yang tular di media sosial beberapa hari lepas.

“Keluarga ada empat orang jadi isteri suruh beli lima ekor ayam, beras, sayur untuk dua minggu, dua pek mi segera, dua dozen telur, buah dan juga tisu tandas,” coret Lee Chong Wei pada kapsyen hantaran tersebut.

Gambar sekadar hiasan.

Sebaik sahaja tiba di pasar raya, beliau bercerita pengalaman melihat masing-masing seolah-olah sedang dalam perlawanan maraton troli. Dalam keadaan yang sesak itu, mujurlah Lee Chong Wei berjaya membeli apa yang terdapat dalam senarai tadi. Satu-satunya barangan yang tidak sempat dibeli beliau adalah tisu tandas.

“Nasib baik sempat beli semua yang isteri suruh tapi tisu tandas saya terlambat. Ternganga tengok mamat depan saya tapau 10 beg tisu jamban! Banyaknya jubur kat rumah,” tulis Lee Chong Wei.

Apa yang Lee Chong Wei perkatakan itu berjaya mencuri perhatian warganet di mana hantaran tersebut telah mencatat hampir 80,000 tanda suka.

Malah, tinjauan kami di media sosial mendapati rata-rata berkongsi semula tangkap layar kapsyen tersebut di profil masing-masing. Perkongsian kapsyen tersebut oleh seorang pengguna laman sosial Twitter di sebalik akaun @erk888 meraih hampir 20,000 ulang kicau dalam tempoh kurang dari 24 jam.

Dalam pada itu, Lee Chong Wei menerusi hantaran yang sama menggesa semua pihak agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bermula semalam. Beliau menggesa semua rakyat Malaysia untuk berada di rumah dah tidak pulang ke kampung masing-masing.

“Jangan balik kampung macam cuti raya. Anda mungkin okey, tapi yang mati nanti orang tersayang,” tulis beliau.

“Percayalah, mimpi ngeri ini akan berakhir. Jangan panik. Kita warga Malaysia tak kira bangsa dan agama berganding bahu, bertolak ansur, tolong-menolong, hari itu akan sampai dengan lebih cepat,” kata beliau.

Pada masa yang sama, beliau juga mengungkapkan penghargaan tidak berbelah bahagi buat semua petugas bahagian hadapan dalam usaha mengekang wabak COVID-19.

“Kepada frontliners, para doktor, jururawat, kakitangan hospital dan juga juruwang pasar Raya yang terus berkhidmat dalam masa ini, terimalah tunduk hormat daripada saya!”

“Cara paling baik kita membalas budi dan menyumbang, is to #STAYHOME,” tulis beliau lagi.

Untuk membaca artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca