Paul Bernardo dan isterinya, Karla Homolka kelihatan seperti pasangan yang sempurna. Sebelum Paul dipenjarakan atas pelbagai kesalahan merogol, menyeksa dan membunuh, dia merupakan seorang jurujual berjaya yang sangat menawan. Namun begitu, keinginan sadistiknya mula memuncak apabila dia bertemu dengan bakal isterinya, Karla yang menggalakkan hobi tidak sihat lelaki itu.
Ini adalah kisah pasangan Ken dan Barbie pembunuh, Paul Bernardo dan Karla Homolka.
Latar belakang Paul Benardo
Paul Bernardo dilahirkan pada 27 Ogos 1964 di Kanada di dalam keluarga yang stabil. Namun begitu, keluarga tersebut mempunyai rahsia mereka yang tersendiri.
Pada 1975, bapa Paul dituduh mencabul kehormatan seorang kanak-kanak. Malah, satu khabar angin juga telah muncul mengatakan lelaki terbabit turut mencabul anak gadisnya sendiri. Walau bagaimanapun, Paul seperti tidak terkesan dengan jenayah bapanya itu. Dia sering digambarkan sebagai kanak-kanak lelaki yang gembira dan murah senyuman.
Namun, segalanya berubah semasa Paul berumur 16 tahun apabila ibunya mendedahkan bahawa dia sebenarnya merupakan anak hasil kecurangan ibunya dengan lelaki lain. Semenjak hari itu, perangai Paul telah serta-merta berubah. Dia sering menggelar ibunya sebagai perempuan jalang. Malah, semasa di universiti, Paul sering bertukar-tukar pasangan perempuan dan sering mendera serta memalukan mereka.
Paul Bernardo sebagai perogol Scarborough
Pada bulan Mei 1987, kawasan kejiranan Scarborough mula diserang pelbagai kejadian jenayah yang menakutkan.
Seorang gadis muda telah dirogol dengan kejam sebaik sahaja turun dari sebuah bas pada 4 Mei 1987. Dua kejadian sama dilaporkan pada minggu berikutnya. Kesemua mangsa merupakan wanita yang berumur lingkungan 15 sehingga 21 tahun. Mereka dipukul, dihina dan diugut sehingga mereka menjadi sangat takut untuk melaporkan kejadian berkenaan. Pihak polis telah mengesyaki suspek yang dikehendaki adalah orang yang sama berikutan corak jenayah yang sama.
Dalam masa hampir lima tahun Paul Bernardo menjadi perogol Scarborough, lelaki itu telah memperkosa sekurang-kurangnya 19 orang gadis muda. Kesemua mereka diserang sebaik sahaja turun daripada bas. Paul sebenarnya pernah disoal siasat oleh polis kerana dua daripada mangsanya melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa. Tetapi, tiada tangkapan dilakukan dan Paul bebas menjalankan jenayahnya.
Karla Homolka
Karla Homolka, 17, bertemu Paul Bernardo, 23, pada 1987. Karla merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan digambarkan sebagai gadis yang cantik, bijak dan popular dalam kalangan rakan-rakannya. Gadis itu juga merupakan seorang pencinta haiwan dan telah bekerja di sebuah klinik haiwan semasa dia bertemu dengan Paul.
Paul dan Karla serta-merta jatuh cinta. Perasaan itu membuak-buak apabila Paul mengetahui bahawa Karla juga mempunyai fantasi yang gelap seperti dirinya. Paul akan berlakon sebagai seorang tuan yang kejam dan suka mendera. Manakala, Karla pula akan menjadi seorang hamba yang merelakan sahaja segala perlakuan Paul. Sepanjang mereka berdua bersama, Paul masih lagi aktif merogol gadis-gadis di Scarborough dan Karla menyokong perkara itu.
Perkosaan dan pembunuhan Tammy Lynn Homolka
Setelah Paul dan Karla bertunang selepas tiga tahun bersama, Paul mula bosan dengan hubungan tersebut. Lelaki itu merungut bahawa Karla bukanlah seorang anak dara ketika mereka pertama kali bersama. Perkara itu membuatkan Paul mula mencari mangsa lain iaitu adik kandung Karla sendiri, Tammy.
Karla langsung tidak berasa marah akan permintaan tunangnya itu. Malah, wanita itu sekali lagi menyokong Paul dan turut berjanji akan menghadiahkan dara adiknya sebagai hadiah Hari Natal buat Paul.
Pada 23 December 1990, usai satu pesta Krismas di kediaman keluarga Karla, wanita itu telah meletakkan ubat penenang haiwan yang dicuri di klinik haiwan tempat dia bekerja ke dalam minuman Tammy. Setelah kesemua ahli keluarga masuk tidur dan Tammy mula tidak sedarkan diri, Karla menekup mulut adiknya dengan kain yang sudah dicelup ke dalam larutan halothane. Setelah itu, dia dan Paul telah bergilir-gilir merogol Tammy sambil merakam perlakuan tersebut menggunakan kamera video.
Beberapa jam kemudian, Tammy muntah dan mula tercekik. Pasangan itu panik dan terus menelefon ambulans setelah menyembunyikan segala bahan bukti. Malang sekali, Tammy Lynn Homolka disahkan mati semasa tiba di hospital. Walaupun terdapat satu kecederaan terbakar di wajah gadis itu akibat cecair kimia, dadah yang digunakan Karla tidak ditemui di dalam badannya. Kematian gadis itu disenaraikan sebagai mati akibat keracunan alkohol.
Pembunuhan Leslie Mahaffy dan Kristen French
Kematian Tammy tidak membantutkan jenayah pasangan ini. Malah, mereka telah merogol dan membunuh seorang remaja berusia 14 tahun bernama Leslie Mahaffy. Pada 29 Jun 1991, mayat gadis malang yang disaluti konkrit itu ditemui satu pasangan yang sedang berkanu di Tasik Gibson. Pada hari yang sama, Paul Bernardo dan Karla Homolka telah melangsungkan perkahwinan mereka.
Setahun kemudian, pasangan itu kembali mengganas. Mangsa mereka kali ini ialah Kristen French, 15. Seperti mangsa yang lain, Kristen turut dirogol dengan kejam sebelum dibunuh. Mayat gadis itu ditemui polis ditinggalkan di dalam sebuah longkang dengan badan yang dipenuhi kesan lebam dan kepalanya dicukur.
Apabila polis menyedari bahawa dua pembunuhan ini saling berkait, satu lakaran wajah lelaki diedarkan kepada orang ramai yang membawa kepada penangkapan Paul Bernardo pada Februari 1993.
Pengakhiran
Menyedari jenayah Paul bakal didedahkan, Karla segara mendapatkan peguam dan membuat satu perjanjian dengan pihak kerajaan bahawa dia akan menceritakan segalanya. Sebagai pertukaran, Karla mahu mengelak daripada dihukum penjara seumur hidup. Namun, perkara itu memakan dirinya apabila polis menemui rakaman video pembunuhan Tammy yang memaparkan Karla turut menyertai perkosaan adiknya itu.
Walau bagaimanapun, wanita itu sudah dibebaskan pada tahun 2005 dan kini sudah berkahwin semula dan mempunyai seorang anak. Manakala Paul pula menerima hukuman penjara seumur hidup berikutan dia telah melakukan banyak pemerkosaan gadis di kawasan Scarborough. Satu rayuan telah dibuat oleh Paul pada tahun 2018 namun ditolak oleh hakim selepas hanya 30 minit proses perbicaraan.
“Paul Bernardo tidak pernah meminta maaf atas apa yang telah dilakukannya. Dia juga tidak pernah menunjukkan rasa kesal,” ujar seorang peguam yang mewakili keluarga mangsa.