Bangsawan Dari Neraka: Rahsia Marie Delphine, ‘Ratu Penyeksa’ New Orleans

Siapa sangka satu kebakaran telah membawa kepada terbongkarnya sebuah kisah kejam yang selama ini dipendam rapi. Sering dipandang tinggi oleh masyarakat setempat, seorang wanita bangsawan telah menempatkan dirinya layak menjadi salah seorang wanita paling kejam dalam sejarah kerana rahsianya itu.

Sumber: Pinterest

Latar belakang

Marie Delphine McCarty dilahirkan pada tahun 1787 di New Orleans, Amerika Syarikat. Keluarganya merupakan orang berada yang telah berpindah dari Ireland ke Louisiana yang pada masa itu dimiliki oleh Sepanyol.

Sepanjang hidupnya, Marie Delphine telah bernikah sebanyak tiga kali. Perkahwinan pertamanya dengan seorang pegawai Sepanyol berpangkat tinggi telah mengurniakan mereka dengan seorang bayi perempuan. Malangnya, suami pertama Marie Delphine meninggal dunia di Havana semasa dalam perjalanan ke Madrid.

Empat tahun kemudian, Marie Delphine berkahwin sekali lagi dengan seorang lelaki Perancis bernama Jean Blanque. Suami kedua Marie Delphine ini hampir sama taraf kekayaannya dengan keluarga Marie Delphine. Perkahwinan ini telah mengurniakan kedua pasangan ini empat orang cahaya mata; tiga perempuan dan seorang lelaki. Namun, jodoh Marie Delphine dan suami keduanya juga tidak panjang apabila lelaki itu turut meninggal dunia.

Suami terakhir Marie Delphine merupakan seorang doktor. Lelaki bernama Nicolas LaLaurie itu merupakan seorang yang jauh lebih muda berbanding Marie Delphine. Dia juga selalu berjauhan dengan isterinya atas sebab-sebab tertentu dan tidak mengambil tahu perihal isterinya.

Khabar angin

Sumber: All That’s Interesting

Marie Delphine telah membeli sebuah rumah agam tiga tingkat pada tahun 1831. Rumah agam tersebut beralamat di 1140 Royal Street dalam Kuarters Perancis. Rumah agam milik Marie Delphine ini boleh dilawati pada hari ini.

Sepertimana golongan bangsawan lain pada zaman itu, Marie Delphine mempunyai ramai hamba. Secara stereotaipnya, seorang hamba pada ketika itu akan dilayan secara kasar oleh majikannya namun tidak bagi Marie Delphine. Kebaikan yang ditunjukkan kepada hamba-hambanya telah menjadi buah mulut warga kota. Walaupun begitu, beberapa khabar angin kurang enak telah tersebar. Khabar angin itu mengatakan bahawa Marie Delphine hanya berpura-pura di hadapan orang ramai.

Khabar angin itu ternyata benar dan telah dikukuhkan oleh dua laporan.

Laporan pertama adalah berkenaan seorang lelaki yang telah bertindak terjun dari tingkat tiga rumah agam tersebut. Lelaki tersebut lebih rela mati daripada menjadi mangsa penyeksaan Marie Delphine yang disifatkan tidak berperikemanusiaan. Setelah kejadian itu, Marie Delphine telah menutup tingkap tersebut dengan simen dan batu bata. Jika anda pergi melawat rumah agam tersebut, anda dapat melihat tingkap kedua sebelah kiri pada tingkat tiga bangunan tersebut masih disimen rapi.

Sumber: All That’s Interesting

Laporan kedua ialah mengenai salah seorang hamba Marie Delphine. Hamba tersebut yang hanya berumur 12 tahun telah dipukul dengan teruk oleh Marie Delphine. Kesalahannya gadis kecil itu hanyalah kerana dia secara tidak sengaja telah tertarik rambut Marie Delphine dengan agak kuat semasa sedang menyikat rambut majikannya itu. Akhirnya, gadis itu telah terjun dari bumbung rumah agam tersebut dan menemui ajal.

Seorang saksi telah terlihat Marie Delphine menanam mayat gadis itu. Polis menyerbu ke rumah agam tersebut dan telah menyaman Marie Delphine $300 (RM1254 pada hari ini) dan memaksa wanita itu menjual sembilan orang hambanya. Marie Delphine dengan mudahnya membeli semula hamba-hamba tersebut pada kemudian hari.

Kebakaran dan pembongkaran rahsia

Sebuah kebakaran telah tercetus pada tahun 1834 di rumah agam milik Marie Delphine. Dengan pantas, jiran tetangga wanita itu segera bekerjasama memadamkan kebakaran. Namun begitu, apabila Marie Delphine ditemui berseorangan, seribu tanda tanya telah bermain diminda jiran-jiran tadi.

Di manakah hamba-hamba Marie Delphine?

Di sinilah di mana rahsia Marie Delphine yang telah lama disimpan telah dibongkar. Kepercayaan dan statusnya di mata warga New Orleans telah hancur berantakan.

Laporan saksi telah mengatakan bahawa kesemua hamba Marie Delphine ditemui di loteng rumah. Mereka telah diseksa dengan kejam sekali. Pelbagai versi cerita telah tersebar. Antaranya adalah penemuan sekurang-kurangnya tujuh orang hamba yang didera hingga hampir mati. Mata mereka semua telah dicungkil keluar, kulit disiat dan mulut mereka penuh dengan najis mereka sendiri dan telah dijahit rapat.

Laporan lain pula mengatakan seorang hamba wanita dijumpai dengan tulang yang patah riuk, seorang lagi hamba dibaluti usus manusia. Terdapat juga beberapa hamba dengan kepala mereka ditebuk. Beberapa sudu kayu ditemui berdekatan. Alat itu telah digunakan untuk mengacau otak mereka.

Setelah kesemua hamba dibebaskan, 4,000 warga New Orleans telah bertindak menyerang rumah agam tersebut. Tingkap-tingkap dipecahkan dan pintu-pintu dimusnahkan. Namun, kelibat Marie Delphine tidak terlihat di mana-mana.

Kematian

Meskipun rumah agam milik Marie Delphine masih kekal utuh sehingga hari ini, tiada siapa yang mengetahui ke manakah wanita itu menghilangkan diri setelah rahsianya diketahui umum.

Sumber: Pinterest

Lewat tahun 1930-an, sebuah plat tembaga telah ditemui di Tanah Perkuburan Saint Louis, New Orleans. Plat tersebut membawa nama “LaLaurie, Madame Delphine McCarthy.”

Plat itu yang diukir dalam bahasa Perancis mencatatkan 7 Disember 1842 sebagai tarikh kematian Marie Delphine. Tempat kematiannya pula tercatat di Paris, Perancis. Plat itu menimbulkan keraguan ramai kerana ada yang berpendapat Marie Delphine tidak sempat lari ke Perancis. Ada pula yang mengatakan wanita itu meninggal dunia pada tahun 1849.

Walaupun dengan kehadiran plat tembaga dan beberapa rekod lain, kehilangan Marie Delphine masih menjadi tanda tanya. Hingga ke hari ini, mayat Madame Marie Delphine LaLaurie masih lagi tidak ditemui.

Artikel Lain Untuk Di Baca