Bangkit Buat Kali Kedua, Maulana Hilmy Harap Safiey Ilias Terus Istiqamah

“Saya harap Safiey terus istiqamah dan bangkit kembali buat kali kedua serta buat keputusan nekad untuk berubah demi Allah SWT, Rasul dan ibu bapa.” Demikianlah kata-kata yang keluar daripada mulut pendakwah bebas iaitu Wan Hilmy Wan Mohamed atau lebih dikenali sebagai Maulana Hilmy apabila mendapat tahu tentang kebangkitan usahawan kosmetik itu buat kali kedua.

Terdahulu, Maulana Hilmy merupakan individu yang bertanggungjawab membawa penghijrahan Safiey Ilias atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Ilias kembali kepada fitrah sebagai seorang lelaki.

Menurut Wan Hilmy, penghijrahan kali kedua adalah atas faktor keinginan Safiey sendiri yang mahu berubah ke arah kebaikan.

“Masyarakat kena doakan yang baik-baik buat Safiey terutamanya warganet di media sosial kerana untuk berubah bukannya mudah.”

“Safiey ini public figure yang kerap menjadi perhatian masyarakat, apa saja mengenai dirinya akan dimuat naik dalam media sosial, masyarakat kita pula tiada minda dakwah dan kurang bagi sokongan serta semangat,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Difahamkan, salah satu sebab utama penghijrahan Safiey sebelum ini tidak kekal lama adalah kerana dia tidak tahan menerima kecaman warganet.

“Semua perkembangan diri dikongsi dalam media sosial, malah ada orang kata dia gunakan penghijrahan berkenaan untuk lariskan perniagaan dan tunggang agama.”

“Kami tidak pernah menghakimi dia sebegitu dan tidak akan menjauhkan diri sama sekali namun kali ini saya harap dia betul-betul istiqamah,” katanya.

Tambahnya lagi, Safiey diberi Allah banyak kelebihan terutama sekali daripada segi kecantikan dan kekayaan, jadi dia kena terus istiqamah.

“Dua minggu lalu dia ada mesej saya untuk kembali berubah dan kelmarin (Sabtu), kami berjumpa di Lata Iskandar, Cameron Highlands.”

“Saya mengetahui mengenai penghijrahan kali kedua ini daripada rakan yang memberitahu Safiey mula berubah, rambut sudah pendek dan tidak pakai pakaian wanita lagi,” katanya.

Apabila ditanya sama ada Safiey perlu menjauhi media sosial buat masa ini, Wan Hilmy mengatakan bahawa dia tidak perlu berbuat demikian namun cuma perlu menjaga solat dan Allah akan membantunya kembali ke pangkal jalan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca