Bangkai Ditemukan Mati Terduduk, Gajah Pygmy Ditembak Sebanyak 70 Kali

Bumi Borneo baru-baru ini dikejutkan dengan kematian seekor gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, Tawau akibat dibunuh dengan kejam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Gajah yang dianggarkan berusia 11 hingga 12 tahun dengan ketinggian 1.8 meter itu dipercayai telah mati sekitar tiga atau empat hari yang lalu. Haiwan tersebut ditemukan tidak bernyawa dalam keadaan terduduk di tebing sungai.

Hasil siasatan daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menemukan sebanyak 70 peluru dalam badan haiwan tersebut. Kesakitan yang dialami oleh haiwan berkenaan semestinya perit untuk digambarkan. Maka, tidak hairanlah jika hasil pemeriksaan awal terhadap bangkai gajah tersebut mendapati kesan luka pada bahagian pipi, kepala, badan dan punggungnya.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata haiwan tersebut ditembak bertubi-tubi berikutan gajah berkenaan masih hidup selepas ditembak kali pertama oleh pemburu haiwan. Ini mendorong pihak tersebut untuk terus menerus menembak gajah pygmy sehingga mati.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut berkenaan perkara tersebut kerana bimbang akan memberi kesan terhadap siasatan yang masih dijalankan.

Tempoh siasatan yang dijalankan berlandaskan prosedur yang ditetapkan akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu bulan. Namun demikian, beliau masih meluahkan harapannya agar si pelaku segera ditemukan dan dihadapkan ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman yang tegas.

Berhubung dengan peristiwa ini, pihak JHL Sabah akan mengambil pendekatan terbaharu iaitu bekerjasama dengan masyarakat setempat bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.

Langkah ini penting untuk mengelakkan daripada berlakunya aktiviti pemburuan secara haram sekaligus menggalakkan penduduk menjadi saksi sekiranya mengetahui atau menyaksikan pihak tidak bertanggungjawab berbuat demikian.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca