Lebih kurang 40 banduan Penjara Pengkalan Chepa yang berkemahiran dalam bidang jahitan telah menghasilkan 1,000 unit Peralatan Perlindungan Diri (PPE) iaitu penutup kepala dalam tempoh sehari, sejak dua hari lalu untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengarah Penjara Pengkalan Chepa iaitu Penolong Kanan Komisioner Penjara Mat Yaacob berkata, kaedah istimewa telah diguna pakai oleh banduan untuk menghasilkan PPE yang berkualiti dalam tempoh yang singkat. Kaedah itu juga dapat mengelakkan pembaziran bahan asas yang semakin berkurang.

Katanya, banduan yang terbabit mendapat latihan khas daripada Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) iaitu Dr. Hanisa Hassan dengan menggunakan kaedah yang diilhamkan serta dikaji oleh beliau dan Pegawai Perubatan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Kelantan iaitu Dr. Mohd Zurairie Mohd Zubir.
“Usaha yang dilaksanakan ini akan diteruskan selagi negara berhadapan dengan penularan wabak COVID-19 ini di mana banduan akan menghasilkan sekurang-kurangnya 1,000 unit PPE setiap hari sejak 30 Mac lalu untuk diagihkan kepada kemudahan kesihatan yang terbabit.
“Diharap dengan penghasilan PPE yang berkualiti ini akan dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan PPE di kemudahan kesihatan khususnya di Kelantan yang menjadi kebimbangan utama petugas barisan hadapan negara,” kata Dr. Hanisa.
Beliau telah menyerahkan 1,000 unit PPE tersebut pada satu majlis ringkas kepada KKM yang diwakili oleh Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) iaitu Datuk Dr. Selasawati Ghazali di Penjara Pengkalan Chepa semalam.
Dr. Selasawati menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang dalam menjayakan usaha itu terutamanya pihak Penjara Pengkalan Chepa.
“Sesungguhnya kerjasama di antara badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 ini amat penting sekali,” katanya.
Usaha sebegini dilihat sangat bermakna tatkala barisan hadapan sangat memerlukan PPE. Diharapkan banyak lagi pihak dapat menyumbang kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam usaha untuk menangani COVID-19.
Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: