Jepun adalah sebuah negara kepulauan Asia Timur yang terletak di sebelah Lautan Pasifik dan merupakan antara negara yang termaju di dunia. Penduduk Jepun yang berjumlah 128 juta orang menjadikan Jepun negara ke-10 paling ramai penduduk di dunia.
Jepun terdiri daripada lebih 6800 pulau dan mempunyai kepulauan utama iaitu Hokkaido, Honshu, Shikoku dan Kyushu menjadikan Jepun satu destinasi yang menarik dengan suasana yang selesa serta budaya penduduknya yang sungguh sopan dan beretika.
Kali ini, kami kongsikan 7 perkara yang anda semua patut tahu apabila berkunjung ke Jepun:
1. Jangan membuat bising dalam pengangkutan awam
Penduduk Jepun sangat menitikberatkan etika yang sopan dalam kehidupan harian mereka. Dalam situasi seperti ketika menaiki kereta api, terdapat begitu ramai penumpang sehingga menyebabkan keadaan menjadi sesak.
Orang Jepun tidak akan mengeluarkan suara, berkata-kata, dan menimbulkan sebarang percakapan antara satu sama lain serta menggunakan telefon bimbit kerana ingin menghormati penumpang lain. Bercakap atau mengeluarkan suara dengan sengaja menyebabkan gangguan kepada penumpang Jepun dan menyakitkan hati mereka.
2. Menerima kad perniagaan dengan kedua-dua belah tangan
Budaya kerja dalam kalangan orang Jepun sangat efisyen dan harus dipraktikkan oleh perusahaan di seluruh dunia. Pekerja Jepun sentiasa menepati masa, menghormati orang lain dan mudah bersependapat.
Malah, dalam urusan perniagaan di Jepun, mereka mengamalkan etika menerima kad bisnes dengan kedua-dua belah tangan kerana ia menunjukkan kesopanan dan penghargaan yang besar terhadap peniaga atau pedagang. Lebih-lebih lagi, ia menimbulkan perasaan yang gembira dalam kalangan dua pihak menjurus kepada persahabatan yang baik.
3. Tidak boleh menghembus hingus di kawasan awam
Tindakan menghembus hingus di kawasan awam atau dalam kalangan orang ramai adalah dilarang di negara Jepun. Hal ini demikian kerana tindakan tersebut mengganggu ketenteraman orang lain dan menunjukkan satu adab yang tidak bermoral.
Tindakan ini juga menimbulkan kemarahan orang awam dan dianggap menghina etika orang Jepun. Perlakuan tersebut bukannya satu tindakan yang tidak dapat dielakkan. Jika ingin menghembus hingus, seseorang itu perlu pergi ke tempat yang tiada orang atau di dalam tandas awam.
4. Dilarang merokok dan membuang sampah di atas jalan
Majlis Perbandaran Jepun menguatkuasakan undang-undang larangan merokok dan juga pembuangan sampah di jalan raya terutama sekali di bandar terbesar Tokyo di mana kebanyakan kawasan mempunyai undang-undang melarang seseorang itu merokok. Selain itu, perokok berumur 20 tahun ke bawah boleh dikenakan tindakan undang-undang.
5. Restoran yang mengasingkan perokok
Jika anda seorang perokok yang kerap merokok, terdapat kawasan merokok yang sudah disediakan berdekatan restoran-restoran berkenaan. Hal ini demikian kerana tabiat merokok amat sukar dihapuskan. Oleh itu, penubuhan kawasan khas untuk perokok disediakan bagi menjaga ketenteraman orang lain.
6. Cara menggunakan pintu tiket di stesen kereta api
Stesen kereta api di Jepun mempunyai kemudahan pintu tiket iaitu memasukkan tiket ke dalam pintu tiket elektronik untuk diimbas dan tiket tersebut harus dipegang kembali. Apabila sudah sampai ke suatu destinasi, ketika ingin keluar, tiket tersebut harus dimasukkan ke dalam mesin pintu tiket untuk dipungut kerana dapat digunakan kembali oleh penumpang yang lain.
Kaedah ini bukan sahaja cepat dan mudah, malah lebih menjimatkan. Penumpang yang menggunakan tiket juga haruslah berhati-hati ketika menggunakan mesin pintu tiket dan jika berlaku kesesakan, penumpang hendaklah beratur serta dilarang memotong barisan dan mengganggu penumpang lain.
7. Jangan makan ketika berjalan
Warganegara Jepun tidak mengamalkan makan ketika berjalan kerana ia adalah amalan yang tidak sopan. Walaupun terdapat gerai-gerai makanan di Jepun, rakyat mereka hanya makan sambil berdiri sahaja. Selain itu, mereka juga akan makan selepas duduk di bangku atau tempat duduk awam yang berdekatan.
Kesimpulannya, sebagai pelancong atau orang luar yang ingin berkunjung dan melancong ke Jepun, kita hendaklah mempelajari segala maklumat-maklumat serta peraturan penting apabila berada di Jepun kerana ia menunjukkan tanda hormat kita terhadap negara tersebut.
Penulis
- Aiman Aqil Bin Zaini adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.