Pada bulan Ramadan, semua orang berkejar-kejar untuk mengumpul pahala. Selain melakukan ibadah solat dan membaca al-Quran, membantu golongan yang kurang bernasib baik juga dikira sebagai sedekah yang turut menyumbang kepada pahala.

Sebuah stesen minyak Shell di Jalan Mohd Zin Batu Berendam, Melaka tidak melepaskan peluang untuk mengambil kesempatan dalam memanfaatkan bulan yang mulia ini dengan memberi pakaian terpakai secara percuma kepada orang ramai.

Menurut pengusahanya, Zulkifly Jantan, ini merupakan inisiatif pihaknya bagi berkongsi rezeki menerusi pemberian pakaian percuma yang boleh diambil oleh sesiapa sahaja.

Tambahnya lagi, para pengunjung yang datang ke stesen minyaknya boleh memilih pakaian mereka sendiri tanpa ada had di samping terdapat pelbagai jenis pilihan fabrik.

Semua pakaian yang ada di situ juga dijamin elok untuk dipakai dan tiada sebarang cacat cela. Malah, terdapat juga pakaian yang berjenama.

Pada awalnya, Zulkifly mengatakan bahawa dia bermula dengan hanya meletakkan pakaian ahli keluarganya sendiri. Memandangkan usahanya itu mendapat sambutan positif daripada para pelanggan, ia menggalakkannya untuk meneruskan inisiatif tersebut.

Kebiasaannya, pakaian akan mula diletak di ruang hadapan stesen tersebut bermula 1 Ramadan sehingglah ruang menyangkut pakaian itu kosong.

“Ini program kedua yang kita buat, yang pertama diadakan pada 2 tahun lepas. Yang lainnya tahun ini, pelanggan pun banyak menyumbang sama, jadi lebih banyak pilihan pakaian,” katanya.

“Saya rasa program ini akan diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada orang ramai dan mana-mana yang ingin menyumbang baju mereka, kami amat mengalu-alu niat murni itu,” tambahnya lagi.

Di samping itu, Zulkifly turut mengambil inisiatif dengan memberi ‘kit buka puasa’ secara percuma kepada para pelanggan Islam yang datang ke stesen minyaknya antara pukul 6.30 petang hingga 7.30 petang sepanjang bulan Ramadan.

Sementara itu, seorang penduduk, Intan Azwa Ismail berkata bahawa dia tidak melepaskan peluang mengambil beberapa pakaian untuk anak-anak saudaranya.

“Selain saudara-mara dan anak buah, saya juga agihkan baju-baju ini kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan,” kata suri rumah itu.

Bagi salah seorang penyumbang pula iaitu Mohd Yani Ali, 48, dari Bertam Hulu, dia mengatakan bahawa dia sememangnya berniat untuk menderma pakaian arwah isterinya yang telah meninggal dunia 5 bulan lalu. Sebaik sahaja anak sulungnya memaklumkan tentang program ajuran stesen minyak ini, dia terus merealisasikan hasratnya itu.

“Sesuai sangat sumbangan dapat dibuat ketika bulan Ramadan. Saya harap baju-baju arwah isteri dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda