KONGSIKAN

Bajet 2019 yang dibentangkan pada Jumaat lalu oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merupakan belanjawan pertama yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 pada Mei yang lalu.

Intipati Bajet 2019 dilihat memberi banyak kelebihan kepada para belia dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM60.2 bilion bagi Kementerian Pendidikan. Jumlah tersebut merangkumi 19.1% daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan tahun 2019.

Berikut merupakan intipati Bajet 2019 yang khusus buat para belia:

  • Kementerian Pendidikan adalah penerima peruntukan yang terbesar berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1% daripada keseluruhan perbelanjaan Kerajaan tahun 2019.
  • Peruntukan bagi bantuan pendidikan berjumlah RM2.9 bilion untuk membantu golongan yang miskin melalui bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai.
  • Menaikkan taraf dan menyelenggara semua sekolah dengan peruntukan RM652 juta berbanding RM615 juta tahun 2018.
  • Menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi pembinaan semula sekolah daif di seluruh negara.
  • Memperuntukkan RM206 juta untuk membangun dan menyediakan program latihan di politeknik dan kolej komuniti.
  • Memperkasa aktiviti penyelidikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan peruntukan RM400 juta.
  • Meneruskan pemberian biasiswa dan pinjaman pelajaran dengan peruntukan RM3.8 bilion di mana RM2 bilion diperuntukan khusus kepada pelajar Bumiputera tajaan MARA.
  • Pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara 2% hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.
  • Layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000.
  • RM100 juta diperuntukan sebagai persediaan atlet ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dengan harapan membawa pulang pingat emas pertama negara.
  • RM10 juta untuk membangun dan menggalakkan E-Sports, sebagai sebuah aktiviti dan industri yang diminati oleh generasi muda, yang melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital.

 

 

Menteri Belia Dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau amat gembira dengan Bajet 2019 yang disifatkan sebgai pro-anak muda. Beliau juga berharap agar Bajet 2019 ini dilihat sebagai bukan sekadar pemberian tetapi lebih kepada berbentuk galakan.

Diharapkan Bajet 2019 dapat membantu rakyat Malaysia khususnya golongan para belia dalam usaha negara menghasilkan pemacu negara yang lebih baik di masa akan datang.

Sumber: mStar Online