Bait Lagu ‘One More Light’ Nyanyian Linkin Park Berjaya Halang Lelaki Ini Daripada Membunuh Diri

Seorang wanita dari Orlando, Florida berjaya menghalang seorang lelaki daripada membunuh diri selepas dia memetik lirik lagu One More Light nyanyian Linkin Park.

Ketika itu, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Cristina Settanni sedang memandu menuju ke tempat kerjanya dan dia ternampak kelibat seorang lelaki yang sedang berdiri di pinggir jambatan.

Menurut laporan Click Orlando, Settanni pada mulanya memandu melewati lelaki itu. Walau bagimanapun, dia akhirnya memutuskan untuk memberhentikan kenderaan dan mendekati lelaki tersebut.

“Mula-mula, saya memang tak terfikir untuk berhenti tetapi setelah melihatnya di cermin sisi, saya terus ubah fikiran memandangkan tiada kenderaan lain yang berbuat demikian.”

“Saya memilih untuk mendekatinya kerana saya sendiri pernah berada di tempat lelaki itu. Jadi, saya faham apa yang dilaluinya. Dia cuma perlukan seseorang yang mengambil berat, seseorang yang menyuruhnya untuk membatalkan niatnya itu,” ujar Settanni yang juga merupakan pegawai kesihatan.

Tanpa berfikir panjang, Settanni terus duduk di sebelah lelaki itu dan cuba menenangkannya dengan mengungkap satu baris lagu One More Light, “Who cares if one more light goes out. Well, I do.

“Saya sendiri tidak mengerti apa yang berlaku tetapi dia terus menangis sebaik sahaja mendengar bait-bait lagu itu.”

Tidak lama selepas itu, seorang pegawai polis tiba di lokasi kejadian dan membantu untuk membawa lelaki berkenaan ke tempat yang selamat. Dia kemudiannya dibawa ke pusat penjagaan kesihatan mental untuk diberikan rawatan lanjut.

Susulan itu, kumpulan Linkin Park memuat naik video di laman Facebook bagi mengucapkan terima kasih kepada Settanni yang telah menyelamatkan nyawa seorang lelaki.

One More Light merupakan salah satu lagu yang juga merangkap tajuk album terbaharu Linkin Park di mana ia dilancarkan dua bulan sebelum Chester Bennington menamatkan riwayat hidupnya sendiri pada Julai 2017. Lagu tersebut kemudiannya dijadikan single selepas kematiannya.

Pada Februari lepas, salah seorang ahli kumpulan Linkin Park iaitu Mike Shinoda memberitahu tentang kemungkinan mereka mencari vokalis baharu bagi menggantikan tempat Bennington. Pada masa yang sama, pemain bass kumpulan tersebut iaitu Dave Farrell mengatakan bahawa Linkin Park mungkin akan tampil dengan muzik terbaharu pada suatu hari nanti.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca