Bahayanya Ribut Petir! Patuhi 3 Pencegahan Ini Untuk Mengelakkan Maut

Pada 11 Mac yang lalu, kita dikejutkan dengan kematian seorang remaja warga Myanmar yang maut disambar petir manakala 3 lagi rakannya cedera ringan ketika bermain bola sepak di sebuah padang sekitar Shah Alam.

Semestinya kejadian ini memberi kesedaran kepada kita untuk berfikir dua kali setiap kali keluar dari rumah untuk melakukan aktiviti-aktiviti harian ketika ribut petir sedang menyambar sana sini. Jadi, apakah pencegahan untuk mengelakkan daripada disambar petir? Mari kita lihat dengan lebih lanjut.

1. Tempat berteduh

Cuaca sekarang tidak menentu, kejap panas, kejap sejuk dan tidak mustahil juga akan berlakunya ribut petir. Awasi tanda-tanda ini apabila langit mulai mendung dan disertai guruh.

Segera langkahkan kaki anda untuk mencari tempat berteduh yang selamat dan jauh daripada kawasan yang lapang. Tempat yang paling selamat adalah di dalam kereta dan di dalam bangunan.

Pastikan tidak memilih untuk berteduh di bawah tiang ataupun pokok kerana kedua-dua ini membawa cas elektrik yang menjadi sasaran yang senang untuk disambar petir.

2. Pertolongan untuk mangsa yang terkena sambaran petir

Sekiranya anda mendapati ada mangsa yang terkena sambaran petir, maka segera hubungi 999 untuk dapatkan bantuan perubatan serta ambulans dengan kadar yang segera bagi mengelakkan mangsa daripada mengalami risiko yang lebih berbahaya.

Anda juga harus mengenal pasti waktu yang sesuai untuk memberi pertolongan cemas seandainya diperlukan. Kalau boleh jangan panik dan terburu-buru kerana anda mungkin akan melibatkan lebih banyak nyawa yang terkorban.

3. Semak ramalan cuaca

Sebelum pergi ke mana-mana, semak dahulu ramalan cuaca. Dengan cara ini, mudahlah untuk anda peka dengan ramalan dan amaran ribut petir supaya senang buat keputusan untuk keluar daripada kawasan setempat.

Jika anda ingin mengelakkan diri daripada disambar petir, ada baiknya anda patuhi dan sampaikan informasi pencegahan ini kepada keluarga dan kawan-kawan. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua!

Penulis

  • Syafinaz Syafiqah Rozaidi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca