Baru-baru ini Malaysia dikhabarkan dengan berita tentang kes kematian seorang budak berumur 2 tahun akibat daripada penyakit difteria di Johor. Isu ini perlu diambil berat kerana ia boleh membawa maut terutama bagi kanak-kanak di bawah 15 tahun yang belum mendapat imunisasi.

Difteria adalah sejenis jangkitan yang disebabkan bakteria yang juga dikenali sebagai “Corynebacterium Diphtheria”. Bakteria ini mengeluarkan toksik difteria yang menyebabkan kegagalan pada jantung, fungsi saraf dan pernafasan. Biasanya, bakteria ini menjangkiti tekak pada bahagian tonsil, farinks, larinks dan hidung.
Cara untuk mengenali penyakit ini adalah bentuknya seperti selaput lembut berwarna kelabu di sekitar tekak. Hal ini akan menyebabkan kanak-kanak sukar menelan makanan kerana tekak berasa sakit di kawasan antara rongga mulut dan farinks serta bengkak di kelenjar leher.
Penyakit ini mudah tersebar melalui sentuhan fizikal dan titisan cecair. Bagi kes yang lebih teruk, leher akan menjadi bengkak dan edema. Selalunya tempoh penahanan adalah selama 2 hingga 5 hari atau lebih lama.
Tanda-tanda penyakit difteria kanak-kanak adalah:-
- Demam
- Sakit tekak
- Lapisan selaput nanah berwarna kelabu-kehijauan pada saluran kerongkong
- Sakit ketika menelan atau bengkak bahagian leher
- Masalah pernafasan
Sekiranya anak anda mengalami tanda-tanda seperti ini. Anda disarankan untuk membawa anak anda ke hospital bagi mendapat rawatan yang selanjutnya. Bagi langkah pencegahan, anak anda boleh mendapatkan vaksin difteria untuk bayi yang berusia 2, 3 dan 5 bulan (semuanya 3 dos) dan dos booster pada usia 18 bulan dan 7 tahun. Vaksin ini juga boleh diberikan kepada remaja mahupun orang dewasa.
Semoga informasi tentang penyakit difteria kanak-kanak ini dapat dijadikan peringatan dan pengajaran buat ibu bapa di luar sana.