Bahaya Virus Polio, Kenali 3 Cara Untuk Elak Diri Daripada Terkena Jangkitan Penyakit Ini

Awas! Ancaman polio sememangnya membahayakan nyawa seseorang manusia.

Selain dikenali sebagai satu daripada jenis penyakit berjangkit, Polio merupakan sejenis penyakit yang wajib dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Penyakit ini kebiasaannya menjangkiti kanak-kanak berusia bawah 5 tahun yang belum mendapat sebarang pelalian. Ia merebak melalui oral-fekal, makanan dan juga air yang sudah dicemari dengan virus Polio.

Berikut penulis kongsikan grafik yang memperlihatkan 7 komplikasi atau simptom yang menandakan seseorang sekiranya sudah dijangkiti virus Polio.

Meskipun penyakit ini mampu membawa maut, Polio masih boleh dicegah dengan mendapatkan pelalian imunisasi.

Apakah jenis pelalian imunisasi yang digunakan bagi mencegah virus ini?

Pelalian tersebut dinamakan sebagai Inactivated Polio Vaccine (IPV) yang akan dimasukkan ke dalam tubuh kanak-kanak menerusi kaedah suntikan. Berdasarkan Jadual Imunisasi Kebangsaan di Malaysia, pemberian vaksin kepada setiap kanak-kanak bermula sewaktu berumur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

Selain daripada pemerolehan vaksin, terdapat tiga cara manual yang mudah untuk diamalkan oleh semua individu bagi melindungi diri daripada dijangkiti virus Polio:

1. Sabun

Kebersihan diri merupakan satu faktor yang sangat dititikberatkan bagi melindungi tubuh anda daripada dijangkiti sebarang virus. Oleh itu, biasakan diri untuk sentiasa membersihkan tangan dengan menggunakan sabun dan air bersih setiap kali sesudah menggunakan tandas.

2. Penjagaan kebersihan sanitari

Kebersihan sanitari juga tidak seharusnya dipandang enteng. Sanitari seperti tandas duduk, tandas cangkung, besen basuh, urinal, sinki dan tab mandi sebaiknya dicuci bersih.

3. Makanan dan minuman

Makanan dan minuman juga merupakan satu asbab sekiranya individu dijangkiti Polio. Ini kerana, pemakanan dan air yang diambil memberi kesan dalam setiap tubuh badan manusia. Selain memberikan tenaga dan vitamin, ia juga berupaya memudaratkan kesihatan sekiranya tidak mengambil kira kebersihan dalam penyediaan makanan.

Oleh itu, pastikan setiap makanan yang dimakan adalah masak sepenuhnya. Begitu juga dengan air. Individu haruslah didihkan air minuman sewajarnya sebelum digunakan. Bagi makanan seperti buah-buahan, anda digalakkan untuk mengupas kulitnya terlebih dahulu.

Diharapkan agar perkongsian kali ini bukan sahaja mampu menambah pengetahuan pembaca, malah menyedarkan anda berkaitan ancaman Polio.

Artikel Lain Untuk Di Baca