Anda pernah berasa takut dan ragu-ragu setiap kali melancong dan menginap di mana-mana hotel?
Ketahuilah bahawa tidak semua tempat baharu yang anda kunjungi adalah selamat.
Lebih-lebih lagi dunia masa kini dipenuhi dengan kecanggihan teknologi yang tiada bandingannya. Baru-baru ni, perkongsian langkah atau cara berkenaan kewujudan kamera tersembunyi di tempat penginapan oleh seorang pemuda tular di laman sosial Twitter.
Maka, untuk menjamin keselamatan diri daripada keperibadian anda dicerobohi oleh pihak tidak bertanggungjawab, terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan. Berikut merupakan empat langkah untuk mengetahui sama ada kamera tersembunyi wujud atau tidak dalam tempat penginapan anda:
1. Periksa dengan teliti 10 benda ini
Menerusi akaun Twitter @luqmanhkm93, perkara pertama yang harus dilaksanakan adalah memeriksa dengan teliti perabot-perabot dan perkakas lain yang terdapat di dalam tempat penginapan tersebut. Ini kerana, penjenayah yang melakukan kegiatan ini kebiasaannya gemar menyembunyikan kamera tersembunyi di tempat-tempat atau sudut yang sukar untuk dilihat dengan mata kasar manusia.
Antara 10 barangan tersebut ialah pengesan asap, penapis udara, buku, hiasan dinding, kotak tisu, anak patung, kotak televisyen digital, penyangkut pakaian, pen dan almari.
2. Tutup kesemua lampu dalam bilik
Langkah seterusnya pula memerlukan pengunjung untuk memeriksa keadaan sekitar bilik dengan keadaan yang gelap.
Ini bermakna, pengunjung perlu pastikan kesemua suis lampu di dalam bilik atau tempat penginapan tersebut telah dimatikan. Kemudian, gunakan kamera bahagian belakang telefon bimbit anda dan halakan pada mana-mana tempat dalam ruang bilik tersebut.
Menurut salah satu daripada komen warganet mengenai perkongsian ini, penggunaan kamera telefon juga mampu mengesan Infrared Radiation (IR) daripada kamera tersembunyi. Ini kerana, cahaya infrared kebiasaannya tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
3. Buka tetapan Wifi di telefon
Selanjutnya, pengunjung juga disarankan untuk membuka Wifi di telefon bimbit agar dapat mengesan mana-mana sambungan wifi atau talian aneh yang muncul di telefon tersebut. Untuk lebih mudah, pembaca digalakkan untuk memuat turun dan memasang aplikasi Fling atau Glint Finder dalam telefon bimbit anda.
4. Cabut kabel
Sekiranya terdapat mana-mana kabel yang disyaki berhubung dengan peranti tersembunyi, anda digalakkan untuk mencabut sambungan tersebut.
Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak membantu pembaca khususnya yang kerap berkunjung dan menginap mana-mana hotel atau rumah tumpangan.