Bahana Panjat Piramid Giza Untuk Berswafoto, Instafamous Ini Meringkuk 5 Hari Dalam Penjara Mesir

Seorang instafamous terpaksa menghabiskan masa selama lima hari di dalam sebuah penjara di Mesir selepas dia memanjat Piramid Giza untuk berswafoto.

Vitaly Zdorovetskiy, 27, berkongsi gambar berkenaan di laman sosial Instagram sambil berlatar belakangkan kompleks piramid yang popular itu.

Menerusi akaun Instagram berkenaan, lelaki berketurunan Amerika-Rusia yang juga merupakan seorang YouTuber itu menceritakan pengalamannya semasa dia dipenjarakan di Mesir.

“Tiada perkataan yang dapat menggambarkan apa yang saya lalui selama lima hari di Mesir. Saya dihumban ke dalam penjara kerana memanjat Piramid Giza. Saya sudah masuk ke penjara beberapa kali tetapi ini merupakan pengalaman paling buruk saya,” ujarnya.

Selain itu, Vitaly juga menulis dia melihat banyak perkara buruk semasa di dalam tahanan pihak berkuasa dan dia tidak mahu sesiapa pun merasai pengalaman itu.

Meskipun begitu, pemuda berkenaan memberitahu 3.1 juta pengikutnya di laman Instagram bahawa dia tidak menyesali perbuatan itu.

“Saya melakukannya untuk tujuan yang baik dan tidak lama lagi, saya akan berkongsikan rakaman video berkenaan supaya seluruh dunia dapat menyaksikannya,” katanya.

Perlakuan memanjat Piramid Giza yang merupakan antara Tujuh Keajaiban Dunia Purba sudah diharamkan Parlimen Mesir pada November lalu.

Mengikut undang-undang, sesiapa yang ditangkap memanjat sebarang monumen antik tanpa lesen yang sah boleh berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya satu bulan dan atau denda sebanyak RM2,568 dan tidak melebihi jumlah RM25,684.

Insiden ini merupakan kesalahan undang-undang pertama yang dilakukan oleh instafamous berkenaan.

Sebelum ini, Vitaly pernah ditahan polis kerana berlari ke arah padang semasa pertandingan akhir NBA 2016 dan MBL 2017.

Walau bagaimanapun, dia tidak dipenjarakan atas kesalahan itu.

Untuk membaca artikel lain berkaitan instafamous, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca