Bahana Makan Sup Kelawar, ‘Influencer’ Ini Dedah Terima Ancaman Bunuh

Seorang selebriti internet warga China mendedahkan dia menerima pelbagai ancaman bunuh susulan rakaman video dirinya yang sedang memakan sup kelawar tular di media sosial.

Meskipun kelawar sudah diidentifikasi sebagai salah satu punca wabak Koronavirus yang sudah meragut nyawa beberapa individu di negara itu, Wang Mengyun dapat dilihat memakan haiwan berkenaan yang dihidangkan bersama semangkuk sup.

Rakaman terbabit kini tular di media sosial dan beberapa warganet mendakwa video itu dirakam di sebuah restoran di Wuhan yakni bandar di mana virus berbahaya berkenaan mula-mula dikesan.

Semenjak satu minggu lalu, bandar Wuhan yang menjadi tempat tinggal kepada sekurang-kurangnya 11 juta penduduk kini dikuarantinkan.

Setelah sekian lama dikecam warganet di Weibo yakni laman sosial popular China, Wang Mengyun akhirnya membuka mulut dan mendakwa rakaman sup kelawar berkenaan sebenarnya sudah dibuat pada tiga tahun yang lalu.

“Ia dirakam sempena mempromosikan kehidupan rakyat tempatan di Palau, Micronesia,” jelas Wang Mengyun.

Menerusi satu posting yang dimuat naik ke laman Weibo miliknya, influencer berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada orang ramai kerana memakan haiwan yang merupakan salah satu suspek pembawa Koronavirus.

Tambah Wang Mengyun lagi, dia telah menerima beberapa ancaman bunuh semenjak rakaman berkenaan tular di media sosial.

“Semuanya gara-gara saya sedang merakam sebuah program lawatan di Palau, Micronesia. Saya memakan sup kelawar berkenaan yang menjadi makanan ruji masyarakat di sana,” terangnya.

“Pada tahun 2016, saya tidak tahu mengenai kewujudan virus berkenaan dan saya memuat naik rakaman ini kerana mahu menunjukkan kepada orang ramai mengenai kehidupan penduduk di sana. Saya tidak tahu pula kelawar merupakan salah satu haiwan suspek pembawa Koronavirus.”

Menurut Wang Mengyun lagi, dia tidak merujuk kepada mana-mana pakar sebelum menjamah hidangan berkenaan. Influencer wanita itu juga mengakui tidak banyak informasi mengenai memakan hidupan liar di internet sekali gus menyebabkan kemarahan warganet tertumpu padanya.

Kelawar sememangnya popular dalam perubatan Cina di mana haiwan itu dipercayai mampu menyembuhkan beberapa jenis penyakit seperti malaria dan batuk. Najisnya pula difahamkan mampu mengubati penyakit mata.

Sehingga kini, wabak Koronavirus masih tidak diketahui puncanya. Namun, kajian awal mendapati ia mungkin datang daripada ular yang turut dijual di sebuah pasar makanan laut di Wuhan, China.

Sementara itu, wabak Koronavirus sudah meragut 81 nyawa dan menjangkiti lebih 2,800 yang lain di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataannya semalam, Menteri Kesihatan China Ma Xiowei berkata, negara itu kini sudah memasuki tahap genting apabila virus berkenaan dipercayai mampu merebak dengan lebih pantas.

Untuk membaca artikel lain berkaitan penularan wabak Koronavirus, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca