“Bagi saya, Suasana Ini Adalah Sebuah Kebahagiaan.” – Doktor Ini Berkongsi Kisah Di Kedai Makan

Di kedai makan, keluarga tengah tunggu di meja makan sementara saya sedang beratur untuk ambil makanan dari kaunter.

Depan saya ada seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki, saya agak ibu dan anak, umur anaknya mungkin 4 atau 5 tahun.

Sampai depan kaunter, seorang wanita peniaga (Kak Milah, bukan nama sebenar) yang memegang pinggan menyapa si ibu ini dan si ibu bertanya si anak, “Abang nak nasi lauk apa ni?”

Si anak, suaranya menjerit teruja, memberi jawapan, “Nak pen-pen.”

Si ibu mengangguk, “Ok, Abang. Nanti share dengan ibu ye,” lalu menoleh ke arah Kak Milah, “Letak dua ye, Kak.”

Kak Milah mengangguk sambil tersenyum.

Si anak senyum sengih gigi tersusun elok, putih dan comel betul.

Saya yang dengar ini rasa macam tak salah dengar. Memang betul pen-pen.

Kak Milah letak nasi, sedikit sambal, sedikit kuah kari ayam dan dua ketul paha ayam goreng. Si ibu ini ambil dan ucap terima kasih, berlalu pergi bersama anaknya yang dipanggil Abang tadi.

Saya tersenyum seorangan, sebab baru faham.

‘Pen-pen’ itu sebenarnya ‘pin-pin’ kot, bermaksud makanan kegemaran Upin Ipin iaitu paha ayam goreng. Oleh kerana Upin dan Ipin suka makan ayam goreng dan semestinya nak bahagian paha ayam. Kemungkinan besar si ibu dan anaknya ini pelanggan tetap di sini, sehinggakan Kak Milah pun dah faham.

Entah, saya terhibur. Bagi saya, suasana ini adalah sebuah kebahagiaan. Subhanallah. Sebuah keharmonian yang tidak boleh dibeli.

Perkongsian dengan izin penulis asal, Syahr Musafir

Artikel Lain Untuk Di Baca