Search
Close this search box.

Bagaimana Perancis Mempertingkatkan Pendidikan Seni Di Peringkat Sekolah

Di negara kita pendidikan seni dan budaya belum dianggap sebagai suatu bidang yang penting. Padahal, nilai industri kreatif negara ini yang berasaskan seni dan budaya mencecah puluhan billion ringgit setahun. Di Malaysia juga baru ada tiga sekolah seni, dan sebuah universiti seni iaitu Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan atau ASWARA.

Ketika merasmikan Art Economic Conference di Kuala lumpur, timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan memaklumkan dalam ucapannya bahawa nilai industri kreatif Malaysia adalah kira-kira tiga puluh billion ringgit setahun. Ini bermakna bidang seni mempunyai potensi ekonomi yang tinggi.

Suatu data yang dipakai tentang hobi anggota masyarakat menunjukkan dapatan berikut: Lebih ramai yang menonton TV, diikuti mendengar muzik, membaca buku, menonton wayang, melayari internet dan jumlah yang rendah pergi mengunjungi persembahan teater.

Kecuali melayari internet, hobi-hobi yang lain itu jelas menunjukkan peranan langsung para seniman, penulis, pelakon, budayawan dan mereka yang bertugas sebagai tenaga produksi. Mereka memainkan peranan penting dalam perkembangan seni dan budaya tanah air, yang sepatutnya idea serta pengalaman mereka dikongsi bersama oleh generasi muda terutamanya yang berada di sekolah.

Pengembangan pendidikan seni dan kebudayaan dalam kalangan generasi muda sangatlah penting. Proses pendidikan ini akan memberi kefahaman kepada mereka akan erti serta fungsi seni dan kebudayaan dalam kehidupan moden. Sayangnya pendidikan formal kurang memberi ruang kepada proses yang penting itu.

Di Perancis, telah lama disedari bahawa pendidikan formal seni dan kebudayaan kurang memberi kesan. Lalu mereka menganjurkan pendidikan tidak formal berdasarkan Rancangan Lima Tahun yang dilancarkan oleh Jack Lang dan Catherine Tasca.

Dengan peruntukan yang tidaklah begitu besar, pelan baharu itu menghadirkan seorang tokoh seni dan budaya dalam setiap kelas seni dan kebudayaan yang tidak formal itu. Oleh sebab yang mengendalikan kelas itu tokoh selebriti atau yang terkenal dalam bidangya, maka ia dapat menarik banyak pelajar berumur antara enam higga lapan belas tahun.

Berbeza dengan pendidikan seni dan kebudayaan yang formal, yang sesetengahnya hanya menyampaikan sesuatu yang teoritikal, kelas dalam pelan baharu itu dikendalikan oleh mereka yang betul-betul tahu bidang yang mereka ceburi. Oleh itu para pelajar yang berumur enam hingga lapan belas tahun itu dapat belajar langsung daripada pengendali kelas yang berpengetahuan dan berpengalaman. Dengan cara itu pendidikan seni dan kebudayaan dapat merebak dan berkembang dengan cepat.

Berdasarkan pelan baharu di Perancis itu, dalam masa dua tahun sahaja sebanyak 40,000 kelas telah diadakan. Dalam tempoh lima tahun pula sebanyak 100,000 kelas telah dapat dikendalikan. Kita dapat membayangkan betapa ramainya pelajar yang berumur enam hingga lapan belas tahun telah dapat dididik dalam bidang seni dan kebudayaan dalam tempoh lima tahun itu.

Bagi mempastikan pendidikan seni dan kebudayaan yang tidak formal itu dapat dikendalikan dengan berkesan, Pusat Dokumentasi Pedagogi Kebangsaan (CNDP) Perancis turut memberikan bantuan kepakaran akan kaedah pendidikan yang efektif.

Untuk menyebarluaskan pendidikan itu, teknologi audiovisual dan bidang digital telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Rakaman dibuat bagi membolehkan ia ditonton dan dipelajari oleh khalayak yang lebih luas. Berpuluh-puluh DVD tentang pengajaran sinematografi dihasilkan. Beberapa Laman Web akademik disediakan dan direka oleh bahagian pedagogi untuk guru sumber kebudayaan di kawasan sekitar.

Kita tentunya boleh belajar daripada pengalaman Perancis itu. Kita boleh mengenalpasti sasterawan, pelukis, budayawan, penyanyi, pelakon, penari, pemuzik, animator dan pembikin filem tempatan untuk mengendalikan kelas seni dan kebudayaan kepada generasi muda kita yang berumur enam hingga lapan belas tahun.

Pembelajaran secara bersemuka dengan tokoh-tokoh merupakan kaedah yang paling berkesan bagi mendapatkan sesuatu ilmu pengetahuan. Jika kaedah ini dapat diterapkan segera, kita percaya pada tahun 2020 akan wujud generasi muda Malaysia yang mempunyai pengetahuan seni dan kebudayaan yang lebih baik.

Artikel ini diambil daripada kumpulan artikel Budaya Dan Rakyat oleh Anwar Ridhwan yang bertajuk Masterclass Pendidikan Seni.

Photo by NeONBRAND on Unsplash

Artikel Lain Untuk Di Baca