Bagaimana Memilih Bahan Bacaan Yang Berkesan?

Dr. Abdul Karim Bakkar (Pemikir Islam) menjelaskan tentang pemilihan bahan bacaan yang berkesan dan beliau telah membahagikan pembacaan ini kepada tiga kategori.

Kategori Pertama: Pembacaan untuk keseronokan

Ini adalah jenis pembacaan yang sering menjadi pilihan majoriti manusia. Iaitu membaca sebagai sumber hiburan menggantikan aktiviti menonton televisyen dan aktiviti lain yang kurang bermanfaat dan juga untuk mengisi waktu lapang.

Antara jenis bacaan yang termasuk dalam kategori ini adalah buku-buku seperti novel, majalah dan juga surat khabar.

Antara sebab bacaan sebegini menjadi pilihan ramai ialah kerana bacaan seperti ini tidak memerlukan usaha dan tumpuan yang tinggi oleh kerana itu ia boleh dibaca pada setiap masa dalam apa juga keadaan serta tidak memerlukan sebarang asas melainkan pengetahuan terhadap bahasa sesuatu buku itu ditulis.

Persoalannya adakah pembacaan seperti ini baik? Jawapannya adalah ia baik bahkan ia tidak terlepas daripada faedah dan kebaikan membaca.

Kategori Kedua: Pembacaan untuk menambahkan maklumat

Jenis pembacaan yang kedua ini sangat penting dalam majoriti pembaca. Iaitu membaca untuk menambahkan maklumat baru daripada maklumat sedia ada.

Sebagai contoh seorang yang memiliki pengetahuan tentang hukum hakam berkaitan solat, dengan mudah ia dapat melakukan pembacaan dalam bab rukun solat seperti bacaan Al-Fatihah dan lain lain. Begitu juga mereka yang mempunyai asas pengetahuan dalam bidang sejarah, ekonomi, sains, geografi dan lain lain kerana ia dapat menambahkan maklumat baru terhadap maklumat sedia ada.

Pembacaan seperti ini menarik perhatian majoriti pembaca kerana ia memberikan maklumat yang pantas di dalam sesuatu bidang tanpa perlu melalui susah payah seperti yang dilalui oleh penulisnya (orang yang menulis buku tersebut) dalam memahami maklumat.

Antara bukti yang menunjukkan bahawa pembacaan seperti ini mendapat perhatian yang utama adalah keluhan daripada sebahagian pembaca yang tidak dapat memahami sesuatu penulisan atau karya. Mereka tidak ingin merasai kesusahan percubaan seperti yang dilalui oleh penulis.

Kategori Ketiga: Pembacaan untuk membina kefahaman

Jenis pembacaan yang ketiga ini adalah yang paling sukar tetapi ia adalah pembacaan yang paling banyak memberikan manfaat. Bahan bacaan untuk pembacaan yang ketiga ini bersifat teknikal dan terperinci, tidak hanya memberikan maklumat tetapi ia untuk memberi kefahaman kepada pembaca.

Selain itu, pembacaan seperti ini sebenarnya mencabar kefahaman yang dimiliki oleh pembaca kerana pembaca perlu menilai semula bahan bacaan yang dibaca untuk lebih faham.

Pembaca seperti ini berkongsi rasa sukar yang dilalui oleh penulis dalam menyiapkan karyanya dan membina ideanya. Pembacaan pada jenis ketiga ini bukan sekadar memberikan maklumat tetapi meningkatkan tahap permikiran pembacanya.

Jadi apakah manfaat daripada mengenal pasti dan membezakan jenis pembacaan ini?

Manfaat yang paling besar adalah kepentingan dalam sebuah pembacaan. Selepas mengetahui jenis-jenis pembacaan ini kita akan faham yang manakah jenis pembacaan dan bahan bacaan yang perlu mendapat perhatian yang besar dari sudut waktu dan usaha dalam membacanya.

Perkongsian dengan izin penulis asal, Fakhri Fadzli

Artikel Lain Untuk Di Baca