Penulis: Anon
Rindu adalah keinginan untuk bertemu dengan orang yang kita sayang. Perasaan itu tidak boleh dipaksa, dipanggil atau diusir begitu saja.
Jika rindu pada keluarga, kawan-kawan atau kekasih hati yang masih ada mungkin boleh mesej atau call. Namun bagaimana pula jika merindukan seseorang dari masa lalu atau tidak ditakdirkan untuk bersama kita? Dan kita mahu move on?
Bergantung kepada jenis hubungan, sejauh mana perasaan kita terhadap dia dan kenapa dia pergi…
Jika orang yang anda sangat cintai meninggalkan anda, kajian menunjukkan ia mengambil masa hampir dua tahun untuk melupakan dia. Lebih pendek masanya jika anda bertemu orang lain dan memberi hati kepadanya pula. Kalau perasaan setakat 50-50 je, lagi cepat anda boleh move on.
Jika orang yang dikasihi itu telah tiada, mungkin ambil masa berpuluh tahun untuk berhenti rindukan mereka. Atau mungkin tak akan pernah berhenti, selama-lamanya. Terutama jika kematian mereka secara mengejut dan tiba-tiba.
Anda beria merindui seseorang namun adakah dia juga merindui anda? Apa yang menyedihkan, entah-entah nama penuh anda pun mereka dah lupa. Jika boleh, singkirkan saja mereka ini daripada hidup anda. Delete nombor telefon, buang gambar-gambar bersama, derma teddy bear dan hadiah pemberian kepada kanak-kanak di Afrika atau beli ayam goreng KFC di cawangan lain jika pernah dating di situ.
Cara berhenti merindu
Kombinasi antara masa dan ‘busy’ menjadi kunci untuk berhenti merindukan mereka. Bagi membunuh waktu itu, mungkin anda boleh sibukkan diri dengan perkara yang bermanfaat dan berguna.
Jika masih belajar, fokus pada pelajaran sampai tamat dengan result gempak. Kalau bekerja, curahkan 120% hati tu pada kerjaya. Bina karier yang letup-letup lepas tu pergi spa, salon atau gym untuk cantikkan atau kacakkan diri. Mana tahu, ada yang gigit jari nanti.
Selain tu, cari hobi, aktiviti atau cuba perkara baru. Misalnya pergi belajar buat latte art ke, mengembara, melukis atau fotografi. Tak pun tambah ilmu dengan pergi kursus, seminar atau ceramah dalam bidang yang diminati. Atau lagi bagus pergi buat kerja-kerja sukarelawan contohnya di pusat perlindungan haiwan, mengajar kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan sebagainya.
Di situ, kita akan jumpa dengan ramai dan macam-macam orang. Pergaulan jadi lebih luas dan perspektif hidup anda juga akan berubah. Siapa tahu dalam ramai-ramai orang yang anda jumpa, ada seseorang tertarik dengan anda dan lebih berbaloi untuk dirindu.
Lakukan perkara yang menyeronokkan dan membuatkan anda tidak teringat lagi pada mereka. Terutama jika anda menghulurkan bantuan kepada masyarakat sepanjang dalam proses move on tersebut. Ini akan menyingkirkan perasaan rendah diri, tidak berharga dan tidak berguna. Mungkin perasaan rindu itu hadir kerana berasa diri ini tidak dimahukan dan diperlukan lagi…
Jangan takut untuk meminta bantuan. Luahkan tentang perasaan anda kepada orang yang boleh dipercayai atau ambil kertas dan menulislah. Ia akan membantu menguruskan bebanan perasaan itu.
Orang itu bukan saja meninggalkan anda tetapi juga kekosongan dalam hidup. Kadang-kadang, kita bukan rindukan sangat pada orangnya tetapi lebih kepada mahukan teman ketika sepi menyapa diri.
Mencari teman baru memang paling mujarab. Bila dah ada yang baru, tak hairan dah dengan yang lama. Namun cara ini tidak digalakkan jika hati masih belum sembuh sepenuhnya. Kerana tidak adil bagi si teman dan takut mempermain-mainkan perasaan orang pula.
Anda cuma perlukan masa. Cepat atau lambat, sampai masa rindu itu akan hilang sendiri. Jika hilanglah…
Akhir kata, sebenarnya tiada cara pun untuk menghentikan diri merindu seseorang. Perasaan ini kan tidak boleh dihalang. Anda boleh berindu-rindu namun pada masa yang sama jangan berhenti membaiki diri dan ‘upgrade’ hidup anda.
Jangan gantungkan kebahagiaan kita pada orang lain. Move on tidak bermaksud lupakan terus si dia tetapi moving on with someone yang berada di suatu sudut dalam hati.
Satu perkara lagi yang perlu anda tahu. Ada yang sedang merindui anda, iaitu Yang Maha Esa…