Melihat kek berbentuk istana yang ekstravaganza ini, membuatkan kami turut tertanya-tanya sama ada pembuat pastri atau arkitek yang membinanya.

Rupanya masterpiece ini dihasilkan oleh bakeri Le Novelle Cake yang bertapak di Indonesia. Bakeri tersebut terkenal dengan penciptaan kek replika istana ala Disney.

Seperti pembuatannya, harganya juga bukan biasa-biasa kerana ada yang mencecah RM 250,000 untuk sebuah kek.

Le Novelle Cake ini diterajui oleh Susanti Sunardjie bersama suaminya, Ricky Riyadi.

Menurut laman DWP Insider, bakeri yang diasaskan pada tahun 1993 ini bermula dengan penjualan kek hari jadi kepada kawan-kawan dan keluarga. Kemudian jenama tersebut berkembang apabila mereka mula menjual kek kahwin dengan rekaan yang lebih kompleks dan magical.

Dalam sebuah temu bual bersama Daily Mail, Susanti berkata yang setiap kek mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk siap. Cara kerjanya juga amat halus dan detail.

Namun begitu, kek istana ini sebenarnya bukan diperbuat daripada tepung tetapi styrofoam yang disaluti aising fondan sebelum dihias dengan pes gula berbunga-bunga, kristal dan lampu.

Menurut Susanti lagi, mereka perlukan sekurang-kurangnya dua trak untuk menghantarnya kepada klien kerana tidak muat masuk melalui pintu kereta.

Kek tersebut dibahagikan kepada beberapa bahagian dulu sebelum mendapat sentuhan terakhir daripada para pekerjanya yang bersedia untuk membaiki sekiranya berlaku kerosakan semasa dalam perjalanan.

Kebanyakan klien Susanti berasa gembira dan ‘wow’ dengan kek besar itu. Wanita itu berasa bangga mendapat reaksi positif dan hasil kerja seni pasukannya menjadikan majlis perkahwinan itu semakin istimewa.

Kredit foto-foto: page Facebook rasmi Le Novelle Cake

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda