Pada zaman dahulu, tinggal seorang pemuda bernama Badang di Sayong Pinang, Johor. Ketika itu, Land of Dawn dalam game Mobile Legends belum wujud lagi.
Badang menjadi salah seorang kuli dan hamba kepada Orang Kaya Nira Sura. Dalam kumpulannya, Badang bertubuh paling kecil dan lemah. Mereka menebas semak samun bagi membuka jalan untuk dilalui dan kawasan tanaman.
Kuli-kuli ini tidak dibayar sebaliknya hanya diberi beberapa segenggam beras setiap hari dan mana cukup untuk menampung tenaga membuat kerja-kerja berat itu. Lalu Badang pergi ke sungai untuk tangkap ikan buat lauk.
Setiap petang, dia pasang perangkap ikan dan mengutip hasil pada keesokan paginya. Suatu pagi, Badang melihat isi lukah itu kosong dan dia syak ada yang makan hasil tangkapannya. Buktinya, tulang-tulang dan sisik ikan bersepah di situ.
Badang naik berang sebab sudahlah dia lapar, kawan-kawannya pula asyik mentertawakannya. Siapa cari nahas dengan dia ini? Lelaki itu ambil parang dan bersembunyi di sebalik semak hutan.
Pencuri ikan Badang
Pada waktu subuh, muncul seekor makhluk hodoh berambut panjang tidak terurus, berkuku panjang dan bermata merah yang disyaki hantu air menghampiri perangkap ikan Badang. Ia makan semua ikan di dalam itu sampai kenyang seperti ular sawa dan tertidur pulas.
‘Oh, kau punya kerja selama ni. Dasar setan yang direjam.’ Badang naik angin dan api kemarahannya mengatasi rasa seram. Perlahan-lahan dia merangkak keluar dari persembunyiannya, menuju ke arah hantu air kemudian merentap kasar rambut makhluk itu.
“Eh, sakitlah. Apa tarik-tarik rambut ni?” Hantu air cuba melepaskan diri dan berlaku pergelutan seketika.
Badang tetap enggan melepaskannya, akhirnya hantu air mengaku kalah dan merayu-rayu minta dilepaskan.
“Beginilah, apa kata kalau aku bagi apa saja yang engkau mahu?” Hantu air tersebut mula ‘memancing’ Badang dengan satu tawaran.
“Baiklah, aku nak jadi kuat dengan biseps ketul-ketul.”
“Oh, kacang gajus saja tu. Sebentar ya.” Hantu air itu memuntahkan isi perutnya sekali pakej dengan bunyi uwek uwek uwekkk. Jijik sekali kedengarannya.
“Nah, makanlah.” Hantu air menyua muntahnya yang beralas daun keladi kepada Badang untuk dimakan.
Badang menabahkan dirinya untuk makan muntah hantu itu yang terdiri daripada sisa-sisa ikan mentah yang dicuri. Hantu itu dilepaskan sebelum ghaib entah ke mana.
Badang menguji kekuatannya. Dia menolak sebatang pokok dengan sebelah tangan sehingga tumbang. Kemudian, dia membersihkan kawasan hutan itu seorang diri.
Dipendekkan cerita, khabar tentang kegagahan Badang itu sampai ke istana, berkhidmat dengan kerajaan dan diangkat sebagai pahlawan termasyhur.
Demikianlah salah satu kisah mitos Badang yang mempunyai pelbagai versi.
Badang sebenarnya bukan kisah mitos, tak makan muntah hantu
Wartawan Berita Harian (BH) telah menjejak kesan tinggalan dan bukti yang boleh dikaitkan dengan kewujudan Badang. Mereka berusaha mengumpul maklumat daripada pakar sejarah, temu bual tok batin orang asli dan dokumentasi yang pernah dihasilkan.
Memetik laporan BH, sosok legenda orang kuat itu dipercayai pernah wujud di Kampung Orang Asli Sayong Pinang yang terletak di hulu Sungai Johor.
Sejarawan berpendapat Badang disifatkan mempunyai kekuatan luar biasa dan semula jadi, bukan kerana makan muntah hantu seperti yang digembar-gemburkan dalam fiksyen di atas.
Turut diceritakan bahawa apabila Badang terjatuh dan terhantuk pada batu, bukan kepalanya yang pecah tetapi batu berkenaan yang retak dan terbelah dua.
“Mengenai kematian Badang, diceritakan sama seperti orang biasa lain kerana mati disebabkan sakit tua dan kuburnya terdapat di sebuah kawasan hutan di pinggir Desa Kandis, Pulau Buru di Karimun, Kepulauan Riau, Indonesia.” kata Mohd Azlan, kurator Muzium Kota Tinggi dalam temu ramah bersama BH.
Untuk baca info lanjut tentang Badang, boleh klik sumber-sumber artikel di bawah ini.