Aznil Nawawi Kongsi Kisah Istimewa Di Sebalik Rakaman Lagu ‘Apo’

Pengacara ternama tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi berkongsi kisah di sebalik rakaman single terbaharu beliau berjudul Apo.

Sekiranya anda mahu tahu, nama akaun Twitter yang pernah digunakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebelum ini turut diselit di dalam lirik lagu tersebut.

Aznil yang lebih mesra disapa sebagai Pak Nil berkongsi bagaimana beliau berjaya mendapat perkenan Raja Permaisuri Agong untuk menggunakan nama Che Minah Sayang yang pernah digunakan Baginda sebelum ini dalam lirik lagu tersebut.

“Pada mulanya, saya menghantar direct message di Instagram Raja Permaisuri Agong untuk memohon kebenaran memetik nama akaun Twitter Baginda dalam lirik lagu ini.

Saya pun menghubungi Tunku Azizah selepas menerima balasan nombor untuk dihubungi. Saya begitu gementar sehingga menggigil apabila mahu bercakap dengan Baginda,” ujarnya yang turut membuat permohonan bertulis dengan mengutus surat memohon perkenan mengikut protokol kepada Istana Negara.

Pak Nil bagaimanapun bersyukur Tunku Azizah memberi perkenan selepas pengacara itu mempersembahkan niatnya kepada Raja Permaisuri Agong.

Dalam pada itu, single terbaharu nukilan Pak Nil berjudul Apo ini berkisar tentang kes buli siber, “Lagu ini lebih kepada tanggungjawab sosial saya ketika kes buli siber terus bermaharajalela tanpa kawalan.

Warganet dan jaguh siber dilihat terus melontarkan kata nista dan kecaman. Ada juga yang mengejek fizikal atau tubuh badan, rasis, mempersenda agama, politik dan bermacam-macam lagi.”

Pada pendapat anda, adakah ia boleh menurun sekiranya pihak kementerian atau mana-mana agensi menjalin kerjasama untuk memerangi kes buli siber?

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan buli siber, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca