Azilah Dakwa Najib Arah Bunuh Altantuya

Terkini, Azilah Hadri yang dahulunya pernah disabitkan bersalah atas membunuh seorang wanita berwarganegara Mongolia iaitu Altantuya Shaariibuu membuat satu dakwaan mengejutkan dari Penjara Kajang.

Banduan yang kini sedang menghitung hari penghabisan riwayatnya ke tali gantung menyatakan bahawa arahan membunuh wanita itu datang daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan rakan karibnya iaitu Abdul Razak Baginda.

Bukan itu sahaja, Azilah turut mendakwa, selaku anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK), dia dan seorang lagi pegawai polis bernama Sirul Azhar Umar hanya menuruti sahaja arahan yang memerintahkan mereka untuk shoot to kill (tembak mati).

Pendakwaan ini secara tidak langsung telah dimasukkan dalam permohonan yang difailkan oleh Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati yang akan dijatuhkan terhadapnya.

Azilah turut memohon agar perbicaraan semula dijalankan untuk mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit di mahkamah agar keadilan dapat ditegakkan. Selain itu, banduan ini turut menyatakan bahawa terdapat beberapa keterangan tidak dikemukakan semasa prosiding berlangsung di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelumnya.

Jelasnya lagi, dia turut mengatakan bahawa arahan yang dikeluarkan oleh Najib Razak berbunyi sebegini iaitu “Tangkap dan hapuskan”, “Altantuya merupakan perisik asing” dan “Berbahaya kepada keselamatan negara”.

Dakwa Azilah lagi, “Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut.” TPM menjawab “Shoot to kill,” sambil memberi isyarat memotong leher.

Sejurus ditanya lagi soal maksud memusnahkan perisik asing itu, TPM menjawab, “Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan.”

Tidak hanya itu, dakwaan Azilah ini turut menjelaskan arahan Najib yang memaklumkan dia agar berhati-hati dengan perempuan perisik asing itu kerana beliau sangat pandai berkata-kata dan penuh dengan tipu helah antaranya dakwaan Altantuya mengenai bayi dalam kandungannya.

“Saya tegaskan di sini, tujuan saya kemukakan keterangan-keterangan dan fakta-fakta material di atas adalah bukan hanya kerana saya telah dianiaya oleh pihak berkepentingan tetapi juga bertujuan untuk saya zahirkan perkara sebenar yang telah terjadi di dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu,” Kata Azilah.

“Saya juga berharap agar sahabat-sahabat saya di UTK secara khususnya dan PDRM secara amnya berhati-hati dalam menjalankan arahan-arahan yang diberikan supaya kes penganiayaan seperti yang dihadapi oleh saya ini tidak akan berulang lagi,” katanya lagi.

Kronologi pembunuhan Altantuya mengikut dakwaan Azilah

Awalnya, dia berjumpa dengan Najib di Pekan pada 17 Oktober 2006 yang lalu. Kemudian, Najib mengarahkan Azilah untuk membunuh seorang ‘perisik asing’.

Tidak hanya sekali, arahan tersebut diulangi sekali lagi oleh Razak Baginda sewaktu berada di pejabatnya pada keesokan harinya.

Susulan daripada arahan itu, Azilah mendakwa bahawa dia turut ditanya oleh Razak Baginda sama ada mengingati atau tidak wanita yang pernah ditemui olehnya semasa di lobi kondominium di London.

“… saya beritahu bahawa saya tidak berapa ingat tentang perempuan tersebut tetapi tugas eskot (mengiring) TPM dan Razak Baginda dari hotel penginapan ke kondominium tersebut saya ingat. Razak Baginda beritahu perempuan itulah perisik asing yang dimaksudkan,” dakwa Azilah.

Azilah juga berkata bahawa selepas sahaja dia nampak wanita itu di luar kediaman Razak Baginda di Bukit Damansara baharu dia ingat tentang pertemuannya bersama Razak dan Najib di kondominium itu.

Bagaimanapun, Najib sebelum ini pernah berulang kali menafikan pertemuannya dengan Altantuya. Menurut laporan MalaysiaKini, beliau malah bersumpah menafikannya di dalam masjid.

Sementara itu, Azilah berkata bahawa dia telah diarahkan, dimaklumkam dan percaya arahan untuk operasi sulit itu datang terus daripada TPM dan melalui aide-de-camp beliau ketika itu, DSP Musa Safri.

“Pada setiap masa material, saya juga percaya bahawa saya akan bertanggungjawab untuk menyimpan segala rahsia berkaitan operasi sulit tersebut dan saya yakin bahawa saya akan dibantu oleh TPM sama ada dengan cara bahawa saya tidak akan dituduh di Mahkamah dan/atau bahawa sebarang isu berbangkit di dalam operasi sulit ini akan diselesaikan.”

Berikut merupakan dakwaan Azilah dalam afidavitnya:

1. Dia menerima arahan lisan, tidak secara bertulis daripada TPM dan Musa.

2. Dia setuju menjalankan operasi itu atas kepercayaan penuh yang melibatkan keselamatan negara.

3. Dia percaya BN mempunyai kedudukan kukuh dalam kerajaan dan sebarang cubaan untuk mengingkari arahan TPM atau memburukkan namanya dalam kes ini akan menjadi sia-sia dan boleh mendatangkan kesan negatif terhadapnya.

4. Dia bimbang keselamatan diri dan keluarganya serta bimbang akan perintah hukuman mati terhadapnya dilaksanakan segera.

Tidak hanya itu, sejurus selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Azilah dikatakan terus menghubungi Musa namun diminta bersabar.

“Saya beritahu DSP Musa, ‘Kalau macam ini baik saya bongkar dan beritahu semua.”

Sehubungan dengan itu, Azilah turut berkata tujuannya melambatkan pemfailan pengampunan kepada Sultan Selangor adalah agar proses pelaksanaan hukuman gantung dapat ditangguhkan.

Dalam pada itu, Azilah turut memohon maaf atas penglibatannya dalam operasi itu yang telah ‘meragut nyawa seorang manusia yang tidak bersalah’.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada keluarga Altantuya Shaariibuu di atas apa yang telah terjadi di mana saya tiada pilihan pada waktu tersebut melainkan untuk mematuhi arahan yang diberikan kepada saya dalam menjalankan tugas,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca