Ayda Jebat Lakar Sejarah Buat Mini Konsert Setinggi 38,000 Kaki Dari Paras Laut

Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat mencipta sejarah apabila membuat persembahan mini yang diadakan dalam pesawat diiktiraf sebagai Persembahan Muzik secara langsung di latitude paling tinggi (38,000 kaki dari paras laut) oleh Malaysia Book Of Records pagi tadi.

Persembahan itu diadakan di dalam pesawat AirAsia penerbangan AK5106 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berbangga menjadi sebahagian daripada rekod yang tercipta ini.”

“Syukur semuanya berjalan lancar dan pengalaman baru menyanyi di awan biru takkan dapat saya lupakan,” kata Ayda.

Ayda menyanyikan dua buah lagunya iaitu Pencuri Hati dan Temberang serta lagu Xin Tai Ruan nyanyian asal Richie Ren.

“Memandangkan penumpang pesawat terdiri daripada mereka yang berbilang bangsa, saya mengambil peluang untuk menyampaikan lagu penyanyi popular Taiwan, Richie Ren.”

Dia juga amat gembira apabila penumpang turut sudi menyanyi bersamanya dan terhibur dengan persembahan yang diadakan.

Kejayaan tersebut turut dikongsi oleh kumpulan Shadow Puppet Theatre yang turut sama terlibat menyampaikan tiga buah lagu untuk menghiburkan penumpang dalam pesawat tersebut.

Persembahan mereka turut disaksikan oleh Pengerusi Perbadanan Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book Of Records, Datuk Michael Tio.

Dengan kerjasama Spritzer dan Travel 360, persembahan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena Minggu Muzik Malaysia 2019 (MM2019) yang dianjurkan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca