Ayam Atau Telur, Mana Satu Yang Wujud Terlebih Dahulu?

Ayam dan telur, mana satu yang wujud dahulu? Soalan ini sering menjadi isu perdebatan semua orang. Sebelum ini, kami ada kongsikan pendapat yang pada hemat kami cukup ringkas tapi bernas dan padat oleh seorang pengguna Facebook mengenai persoalan ini.

Tetapi sehingga sekarang, rata-rata masih lagi keliru mana satu yang wujud dahulu di muka bumi ini. Kalau ikutkan logik, dalam proses kejadian seekor ayam, haiwan berkenaan akan menetas daripada sebiji telur. Tapi, macam mana pula telur itu boleh wujud kalau tiada ayam yang bertelur? Pening betul!

Tidak perlu buang masa memikirkan isu remeh ini. Kini, semuanya sudah terjawab menerusi satu kajian yang dijalankan oleh seorang penyelidik iaitu Colin Freeman dari University of Sheffield. Kajian tersebut telah berjaya membuktikan yang mana antara dua ini wujud terlebih dahulu.

Jadi, mana satu yang wujud terlebih dahulu? Ayam atau telur? Telur atau ayam?

Percaya atau tidak, jawapannya adalah ayam. Berikut kami kongsikan penjelasan kenapa ayam dikatakan wujud terlebih dahulu sebelum telur. Dari mana pula datangnya ayam itu kalau tiada telur? Usah berteka-teki lagi! Jom baca penjelasan daripada Colin.

Kajian tadi meliputi tentang protein yang ditemui pada cengkerang telur yang dikenali sebagai Ovocledidin-17. Berbekalkan sebuah superkompuer bernama Hector, Colin dan kumpulannya telah melakukan satu proses simulasi biomineralisasi iaitu proses pembentukan mineral atau organ solid di dalam mahkluk hidup.

Perkara ini telah dijelaskan dalam tulisan ilmiahnya yang berjudul ‘Structural Control of Crystal Nuclei by an Eggshell Protein’.

Berdasarkan kajian itu, protein berkenaan juga ditemui pada sel ovarium ayam. Ia dipercayai berfungsi untuk mempercepat pembentukan cengkerang telur di mana dalam waktu 24 jam, telur akan dikeluarkan oleh ayam tersebut.

Pada mulanya, tujuan utama kajian ini dilakukan bukanlah untuk menjawab persoalan berkenaan telur atau ayam yang wujud terlebih dahulu. Tetapi, penemuan tadi telah meletakkan titik noktah terhadap soalan berkenaan.

Jawapannya, ayam yang wujud sebelum telur. Hal ini demikian kerana telur memerlukan protein Ovocledidin-17 yang dijumpai di dalam ovarium ayam untuk terbentuk. Kalau tiada ayam, tiadalah telur.

Jadi, usah pening lagi memikirkan soal ayam dan telur ini. Kini, anda sudah tahu jawapannya. Bolehlah tidur dengan tenang selepas ini!

Artikel Lain Untuk Di Baca