Ayah Tidak Lagi Dihina, Remaja ‘Mowgli Malaysia’ Ini Gembira Foto Tular Itu Mengubah Persepsi Masyarakat

Gambar yang penuh artistik itu pernah mencetuskan fenomena dalam bidang seni fotografi apabila berjaya memperolehi Anugerah Imej Terbaik Asia 2013.

Tambah membanggakan, gambar yang memaparkan ‘Mowgli Malaysia’ atau Mohd Syukor Khamis, 14, bersama kerbau peliharaannya itu telah berjaya meraih pencapaian yang begitu membanggakan apabila terpilih untuk  dipamerkan di sebuah galeri di Rome, Itali serta beberapa negara sekitar Eropah tidak lama lagi.

Individu yang yang bertanggungjawab menangkap gambar terbabit berkongsi rasa teruja dan kegembiraannya di laman Facebook baru-baru ini.

Jurufoto, Nazri, secara peribadinya berkongsi perasaannya mengenai berita yang mengujakan itu. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa gambar Mohd Syukor terpilih untuk dipamerkan di galeri penuh berprestij pada 25 September ini.

“Adik Syukor Khamis-Kampung Boy sampai Eropah gambar mu ini. Kebanggaan Terengganu dan kebanggaan Malaysia. Alhamdulillah,” coret Nazri.

Rata-rata warganet tumpang bangga dengan kejayaan Nazri serta Mohd Syukor. Ruangan komen pula penuh dengan ucapan tahniah kepada mereka. Kejayaan ini disifatkan satu kejayaan yang telah mengharumkan nama Malaysia.

Bagi remaja 14 tahun ini, dia sudah terbiasa bergaul dengan haiwan ternakannya kerana telah melakukannya sejak daripada kecil lagi. Dia tidak sangka gambarnya mendapat perhatian seluruh dunia dan dia juga tidak menggunakan apa-apa ilmu atau petua untuk menundukkan kerbau, lembu, kambing dan angsa peliharaan bapanya itu supaya mendengar segala kata-katanya.

“Saya tidak bangga apabila menjadi tular tetapi gembira sebab dulu ayah sering dihina kerana pekerjaannya sebagai penternak kerbau. Tetapi hari ini, saya seronok kerana dapat buat ayah bangga dan mengubah persepsi orang terhadap pekerjaan ayah,” kata Mohd Syukor.

Sejak berumur empat tahun dia sudah terbiasa mengikut bapanya, Khamis Jusoh, 63, ke kandang kerbau milik keluarganya. Atas faktor itulah hubungan remaja terbabit bersama haiwan-haiwan ternakannya itu semakin akrab.

Malah, haiwan-haiwan peliharaan bapanya itu seakan-akan taat dan mendengar segala arahan Mohd Syukor lantas memudahkan sesi fotografi.

Sebenarnya, ini bukanlah kejayaan pertama yang telah dikecapi oleh Mohd Nazri yang membabitkan Mohd Syukor. Gambar tersebut pernah memenangi anugerah Street/People Photographer of The Year Asian Geographic – Image of Asia 2018 dan Remarkable Award di Siena International Photography Award 2018, Itali.

Mohd Syukor juga pernah berlakon dalam telefilem berjudul ‘Budok Kuba’ yang menyaksikan kemunculan pertama Mohd Syukor sebagai pelakon utama. Malah, telefilem itu diinspirasikan daripada gambar ‘Mowgli Malaysia’ itu.

Artikel Lain Untuk Di Baca