“Ayah Ketagih Alkohol, Ibu Ketagih Agama”- Terry Crews Kongsi Kisah Silam Gelapnya

Baru-baru ini pelakon Hollywood, Terry Crews, menghadiri temu bual dengan Steven Bartlett dalam sebuah siri Youtube yang dipanggil ‘The Diary of A CEO’ dan berkongsi kisah silamnya yang tragis.

Selama dua dekad lebih, Terry Crews telah menghiburkan ramai penonton dari merata dunia dengan bakat komedinya dalam cerita-cerita seperti “Brooklyn Nine-Nine” dan “White Chicks”. Kejayaannya sebagai hos “America’s Got Talent” menarik perhatian beberapa pengkritik, termasuk Laura Hurley dari CinemaBlend, yang menulis, “Oleh kerana kegembiraannya nampak tulen, ia amat seronok untuk menontonnya.”

Tetapi di bawah susuk tubuh dan senyuman megawatt itu, Crews menyembunyikan banyak rahsia gelap.

Sewaktu zaman kanak-kanak, Crews hidup dalam sebuah rumah tangga yang sangat tegas- dengan ayahnya yang merupakan seorang kaki alkohol, dan ibunya yang taksub dengan agama. Sebagai seorang kanak-kanak, dia tidak dibenarkan bermain sukan, mendengar muzik, atau pergi ke panggung wayang.

Mengikutnya, “Ayah saya ketagih alkohol manakala ibu saya ketagih agama. Ayah saya seorang yang kesat dan pemarah. Ibu pula berpendirian teguh dan selalu melawannya. Jarang ada malam yang aman.”

Crews kongsikan bagaimana dia kerap kali akan terkencing atas katil sehingga dia berumur 14 tahun. Tabiat-tabiat seperti itu merupakan salah satu simptom yang ada pada mangsa penderaan.

“Dia akan pukul ibu saya. Keesokan pagi saya akan jumpa ibu dengan matanya hitam dengan lebam. Itu merupakan salah satu perkara yang mendorong saya untuk menjadi lebih kuat- kerana saya tahu akan ada kemungkinan saya terpaksa bunuh ayah sendiri.”

Namun, mengikut pelakon tersebut, apabila dia mengambil peluang untuk membalas dendam pada suatu hari Krismas tahun 2000, dia berkongsi betapa kesal dia rasa.

Sumber: AllHipHop

“Waktu itu saya dalam perjalanan ke bandar dengan isteri saya apabila dapat sebuah panggilan telefon daripada makcik saya. Dia kata bahawa ayah saya telah memukul ibu saya dan anak-anak saya terlihat insiden itu berlaku. Saya dipenuhi dengan rasa marah. Punyalah saya berusaha untuk memastikan anak-anak saya untuk hidup tanpa mengenali kelakuan sebegitu dan ia masih terjadi.”

Ayah Crews berada dalam kondisi sangat mabuk sewaktu dia menumbuk isterinya sehingga gigi tercabut keluar. “Saya minta tolong makcik saya bawa keluar ibu dan anak-anakku dari rumah itu. Apabila saya pulang balik, saya menghadap ayahku. Saya tanya kenapa masih minum alkohol walaupun dia tahu cucunya ada di rumah.”

Apabila ayahnya memarahi Crews, pelakon itu balas dengan tumbukan-tumbukan.

“Sambil saya memukulnya, saya menangis. Ingatkan akan rasa lega atau puas sebab akhirnya dapat balas dendam, tapi tidak. Saya rasa kosong. Ia tidak menyelesaikan apa-apa. Ayah saya tidak berubah, ibuku masih mahu tinggal dengannya, dan saya tidak mengakhiri kitaran keganasan tersebut.”

Sumber: Reddit

Bukan itu saja, dalam temu bual itu juga, Crews menceritakan bagaimana dia terjebak ketagih dengan media 18+.

“Saya temui media 18+ pada usia 12 tahun. Waktu itu saya melawat rumah pakcik saya apabila tiba-tiba terjumpa sebuah majalah yang ada banyak gambar perempuan yang seksi. Dengan sekelip mata melihat itu, segala masalah dalam hidup saya lenyap. Saya dapat lupakan situasi di rumah, seolah saya langsung tak kenal keganasan dan penderaan.”

Crews terangkan kesan ketagihannya. “Ia mengubah cara anda berfikir tentang orang lain, terutamanya wanita. Mereka menjadi objek dan dianggap hanya sebagai perkara untuk digunakan dan bukan orang untuk disayangi,” katanya.

Sumber: Distractify

Dia berkongsi bagaimana ketagihan tersebut pernah mengancam perkahwinannya. “Pada hari yang isteri saya dapat tahu tentangnya, dia berkata ‘Saya tak kenal awak. Hubungan kita tamat dan kamu jangan pulang rumah’…Masa itu saya akhirnya sedar betapa pentingnya untuk berubah. Berhenti dengan semua alasan,” kongsi Crews. “Saya daftarkan diri ke pusat pemulihan dan mendapatkan pertolongan terapi.”

Di sebalik kesusahan dan cabaran peribadi yang terpaksa dihadapi, Terry Crews mengatasi segala-galanya dan kini tampil menjadi seorang yang lebih baik.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca