“Awek Chuck Taylor 1: Kapsul Masa Adalah Novel Yang Istimewa Buat Aku. ” – Nami Cob Nobbler

Novel Awek Chuck Taylor sememangnya tidak asing lagi kerana pencapaiannya yang sangat memberangsangkan. Novel ini sudah terjual lebih daripada 30 ribu naskhah dan merupakan salah satu novel bestseller terbitan Lejen Press.

Kisah kehidupan Hafiz, Mira dan Nana adalah kisah benar tentang pengalaman hidup penulis novel ini. Selepas novel Awek Chuck Taylor diterbitkan, novel Awek Chuck Taylor 1: Kapsul Masa pula diterbitkan sebagai prequel novel sebelum ini.

KAPSUL MASA: NOVEL TENTANG SEBUAH MIMPI

Walaupun malam ini hujan lebat dan cuaca dingin, aku masih tak boleh tidur. Esok aku harus ke Kuantan untuk menghadiri acara. Aku tak dapat tidur. Sejak dua menjak ini tidur aku tak boleh nak nyenyak.

Enam hari yang lalu aku telah melangkau ke usia 35 tahun. Lalu pada waktu aku sukar tidur ini, aku membelek kembali novel yang pernah aku tulis pada tahun 2015, dan diterbitkan pada tahun 2016, Kapsul Masa (Awek Chuck Taylor 1).

Dalam buku itu aku mencatatkan beberapa peristiwa paling penting hidup aku, hari pertama aku dilahirkan, bila hari pertama aku mulai pandai membaca, hari pertama persekolahan, hari pertama bertemu kawan, bertemu musuh, bercinta, berpisah, direject makwe dan sebagainya.

Membaca novel ini samalah macam membaca jurnal hidup aku. Macam membaca diari. Kecuali ada kucing ajaib bernama Hamid MD yang berkostum macam Rancangan Along dan berperangai essentrik macam Willy Wonka.

Aku mendapat idea novel ini selepas aku perkena cendawan di Indonesia. Ketika itu aku berada di tengah hutan, dan sambil berbaring menghadap bintang, dan berbaring di sebelah unggun api, aku ternampak diri aku dilahirkan semula dan jika aku diberi peluang untuk pilih kembali jalan hidup aku, apakah aku akan teruskan jalan hidup yang asal, atau menukar keputusan baru.

Hidup ini penuh dengan keputusan yang harus kita buat. Adakalanya ia berbunyi remeh seperti yang mana lesser than two evil, Bossku atau Darth Mahadet, misalnya.

Adakalanya ia melibatkan keputusan penting dalam hidup aku seperti memilih jurusan universiti atau membuat keputusan hidup aku untuk jadi penulis novel, atau mencari kerja stabil seperti menjadi model Instagram misalnya.

Dan sepanjang perjalanan hidup aku yang dah 35 tahun ni, ada banyak keputusan yang dulu aku buat, tapi sekarang dah menyesal dengan keputusan itu.

Contohnya macam sekarang. Kalaulah aku buat keputusan untuk tukar brek motor aku dan tayar motor, atau berhenti di tepi jalan ketika hujan dan tidak main redah je, sudah pasti aku tidak rongak dan aku masih mempunyai senyuman yang menawan.

Kalau lah masa aku di London dulu aku terus buat bodoh tak balik Malaysia dan menjadi pendatang haram, mungkin sekarang aku dah jadi sasaran neo Nazi dan kena pukul dengan Brexiteers, lalu aku dibackup oleh seorang makwe yang merupakan penyokong Remainers lalu aku ada makwe minah salleh.

Mungkinlah kot, mungkin.

Tetapi sepanjang trip perjalanan cendawan itu aku mengembara segala genap pelusuk hidup aku dan aku hadiahkan tulisan Kapsul Masa ini untuk diri aku di masa depan, agar bila saat-saat akhir nyawa aku menuju kematian, aku dapat mengimbau memori aku masa muda buat kali terakhir sebelum aku mati.

Walaupun novel aku paling popular ialah Awek Chuck Taylor, namun Kapsul Masa adalah novel yang istimewa untuk aku sebab semasa aku lalui saat kanak-kanak, aku dapat kembali baring di katil lama aku semasa kanak-kanak.

Atau berbaring di atas katil kekasih semasa usia remaja. Atau berbaring di katil asrama mengenangkan perut lapar dan catu mi segera ketika di universiti. Semuanya ketika aku berbaring. Kerana aku berbaring aku bermimpi. Kerana aku terus bermimpi aku teruskan hidup aku ini.

Cita-cita aku ialah mahu cerita aku satu hari nanti disiarkan dan ditonton sama ada di wayang, televisyen atau di streaming. Agar bila aku terus hidup dalam bentuk cerita.

Cerita cinta aku pernah dipentaskan tahun 2014, dan aku rasa sangat beruntung kerana ia dilakonkan oleh pelakon yang hebat-hebat, walaupun aku ni bukanlah seorang yang hebat.

Pada saat ini aku cuba terus mahu tidur, tapi masih gagal lagi.

Perjalanan hidup aku ni zigzag. Kejap ke simpang sini kejap ke simpang sana. Kejap selekoh kejap u-turn walaupun u-turn tak sekerap kerajaan Pakatan Harapan.

Pada usia 35 tahun ini aku telah banyak melupakan impian aku semasa kecil, macam memiliki Batmobile atau menjadi penulis skrip wrestling WWE.

Aku juga telah melupakan impian aku untuk adakan tour di Eropah bersama band aku, Kelly’s Wig (boleh cuba dengar demo band aku).

Dan aku pun dah belajar terima hakikat yang Elly kekasih aku memang dah mati pada 8 Julai 2007 (sebenarnya makan masa lama aku nak terima hakikat ni).

Hal jodoh pun perlahan-lahan aku dah start lupakan (dah boleh tak nak fikir pasal makwe dah) sebab aku sedar diri aku dalam keadaan aku sekarang ni serba barai.

Mungkin tinggal satu je impian aku. Dan kalau yang ini pun tak dapat juga, mungkin lebih baik aku berbaring tanpa ada mimpi lagi.

Aku harap aku boleh tidur untuk aku gerak ke Kuantan esok. Kampung arwah girlfriend aku kat sana. Tapi ada terlalu banyak memori di sana yang ada banyaknya sebenarnya aku cuba untuk lupakan.

Perkongsian dengan izin penulis buku Awek Chuck Taylor sendiri, Nami Cob Nobbler.

Artikel Lain Untuk Di Baca