Awal Ashaari Dan Scha Alyahya Bakal Timang Cahaya Mata Kedua

Pelakon dan pengacara terkenal tanah air, Awal Ashaari mengumumkan bahawa Lara Alana bakal menjadi seorang kakak menerusi sebuah hantaran di laman Instagram baru-baru ini.

Awal atau nama sebenar Ahmad Awaluddin membuka rahsia bahawa usia kandungan isterinya, Scha Alyahya sudah hampir memasuki empat bulan menerusi hantaran tersebut.

Pelakon Cinta Medik ini turut menjelaskan bahawa ia merupakan hadiah paling bermakna buat dirinya yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya ke-39 pada 6 Ogos lalu.

“Assalamualaikum. Dengan nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, tidak ada hadiah yang lebih bermakna di hari lahir saya selain daripada berkongsi kegembiraan ini dengan semua,” ujarnya.

Pengacara Melodi ini turut berharap proses kehamilan isterinya berjalan dengan lancar.

“Kami menantikan kelahiran cahaya mata kedua. InsyaAllah, usia kandungan Scha sudah hampir memasuki empat bulan. Doakan Scha dan bayi ini sihat dalam kandungan.

Semoga Mommy dapat menjalani proses kehamilan dengan sempurna. Syukur ya Allah di atas rezeki ini dan doakan yang terbaik buat kami sekeluarga,” tambahnya.

Awal dan Scha mengikat tali perkahwinan pada 4 Mei 2012. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Lara Alana pada 22 Julai 2014. Tahniah diucapkan kepada Awal dan Scha atas berita gembira ini.

Untuk baca lebih banyak artikel berkaitan selebriti tempatan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca