Australia Bakal Dilanda Bencana Lagi, Taufan Blake Beri Ancaman Pada Pekan Bromme

Belum habis lagi bencana kebakaran hutan belukar yang sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang dan hampir 1 bilion haiwan, Australia dijangka bakal dibadai satu lagi bencana yakni Taufan Blake.

Taufan tropika itu dikesan sudah terbentuk di perairan barat laut Australia semalam dan dijangka bakal membadai pekan Bromme dengan kelajuan angin yang mencecah 125 kilometer sejam.

Menurut pakar kaji cuaca, Taufan Blake dikategorikan sebagai ribut kelas pertama dan bakal berubah kepada kategori dua sejurus tiba di pekan yang didiami 14,000 penduduk itu.

Satu amaran sudah dikeluarkan kepada orang ramai supaya bersiap sedia untuk menghadapi cuaca buruk yang mendatang. Malah, mereka juga diberitahu supaya menyediakan kelengkapan kecemasan seperti kit bantuan perubatan, lampu suluh, radio mudah alih, bateri, makanan dan minuman.

Tambah Biro Kaji Cuaca ribut berkenaan akan membawa bersama hujan lebat. Amaran banjir kini sudah dikeluarkan buat kawasan pantai di barat Kimberley dan timur Pilbara.

Meskipun dengan kedatangan ribut yang membawa hujan lebat itu, Taufan Blake dijangka tidak akan memberi kesan kepada kebakaran hutan yang kian merebak di bahagian lain Australia.

Sehingga kini, kebakaran hutan Australia sudah mengorban lebih 24 nyawa dan hampir 1 bilion hidupan liar di kawasan itu. 8,000 daripada jumlah binatang berkenaan merupakan beruang koala yang dikatakan sukar melarikan diri ekoran pergerakannya perlahan.

Tidak cukup dengan itu, pakar di New Zealand pula berkata sekiranya kebakaran hutan di negara jiran itu berterusan, glasier di New Zealand akan semakin dilitupi dengan debu asap sekali gus akan mempercepatkan kadar pencairan ais.

Untuk membaca artikel lain berkaitan bencana yang menimpa Australia, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca