Ia kedengaran pelik, namun ia bukanlah perkara yang mustahil. ATM atau automated teller machine biasanya dikenali sebagai mesin pengeluaran wang automatik. Namun kali ini, Masjid Al-Akram di Kampung Datuk Keramat memperkenalkan sejenis ATM untuk kegunaan para asnaf mendapatkan bantuan beras.
Setiap asnaf yang layak akan diberikan kad untuk urusan ‘pengeluaran’ beras daripada ATM ini. Sebanyak 2kg beras diperuntukkan kepada setiap asnaf untuk agihan setiap hari.
Menurut Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan – JAWI, golongan asnaf hanya perlu menyentuh kad pada sensor yang ada pada mesin ini dan kemudian bekalan beras sebanyak 2 kilogram akan dikeluarkan pada saluran yang terdapat pada ruang bawah mesin.
Menurut ahli jemaah masjid itu, ATM berkenaan belum beroperasi secara rasmi dan difahamkan ia akan dilancarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam masa lebih kurang dua minggu lagi.
“ATM ini satu-satunya yang ada setakat ini. Dengarnya, banyaklah lagi pengurusan masjid sedang berusaha mendapatkannya,” ujar salah seorang ahli jemaah, menurut Free Malaysia Today.
Antara ciri menarik lain mesin ATM beras ini adalah, selain memudahkan pengagihan beras kepada asnaf, ia juga boleh berfungsi sebagai tabung sumbangan yang mengutip derma daripada orang ramai. Kutipan daripadanya akan digunakan untuk membeli beras buat agihan kepada golongan asnaf.
Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan inisiatif yang sangat baik ini. Jelas sekali sokongan masyarakat, kepentingan teknologi dan sains, ilmu yang bermanfaat dan kepedulian pihak berkenaan untuk memudah cara dapat memberikan lebih kelancaran kepada setiap gerakan membantu golongan kurang berkemampuan.