Asnaf Bermasalah, MAINJ Diminta Bersihkan Rumah Transit Kotor Dan Berbau

Bantuan perumahan disediakan kepada golongan asnaf atau fakir miskin bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sebuah keluarga asnaf yang telah menghuni rumah transit di Flat Impian Skudai, Johor meninggalkan rumah tersebut dalam keadaan kotor, berbau busuk dan mempunyai banyak kerosakan.

Ketua Penolong Pengarah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Khirul Nizam Mat Said menyatakan bahawa keluarga asnaf bersama sembilan anak itu telah dibantu sejak 2015 dan ditempatkan di rumah transit yang dikendalikan bahagian Baitulmal MAINJ.

“Sebelum keluarga asnaf ini diberikan tempat tinggal secara percuma, mereka telah menandatangani polisi antaranya adalah menjaga kebersihan dan keadaan rumah yang didiami.

Apabila keluarga ini melanggar polisi kediaman, kami menasihati mereka. Pihak MAINJ tidak boleh menghalau asnaf kerana kami yang membantu mereka,” kata beliau ketika dihubungi pihak Harian Metro.

Difahamkan keadaan rumah yang dihuni keluarga terbabit sebelum ini berada dalam keadaan elok terjaga.

Namun sejak 2017, pihak MAINJ menerima aduan daripada ketua blok bahawa kebanyakan jiran kurang selesa dengan tahap kebersihan keluarga tersebut.

Menurut beliau, keluarga asnaf tersebut merupakan keluarga yang paling lama menghuni rumah transit di kawasan itu kerana keadaan semasa mereka yang mempunyai sembilan anak kecil dan masih bersekolah.

MAINJ diminta membersihkan rumah tersebut

Pada akhir tahun 2019, pihak berkenaan telah dimaklumkan oleh ketua blok bahawa keluarga terbabit sudah tidak mendiami rumah transit tersebut.

Ketua blok tersebut turut meminta pihak MAINJ untuk membersihkan rumah tersebut kerana baunya yang terlalu busuk.

Namun, pihak tersebut tidak boleh berbuat apa-apa dengan barangan milik keluarga terbabit tanpa kebenaran mereka.

Selepas hampir setahun pencarian, pihak MAINJ telah menjumpai keluarga tersebut yang kini tinggal di kawasan setinggan yang terletak di Kampung Sepuluh Plentong.

Difahamkan rumah transit itu ditinggalkan keluarga terbabit selepas mereka didapati gagal membayar bil air dan elektrik sehingga berlaku pemotongan bekalan.

Selepas bertemu dengan keluarga asnaf itu, pihak MAINJ telah diberi keizinan untuk membuat kerja-kerja pembersihan di rumah tersebut.

Semasa rumah terbabit diperiksa, terdapat pelbagai kerosakan termasuk pintu, tikar getah, cat dan kemudahan lain.

Menurut pihak MAINJ, sebaik sahaja rumah terbabit dibaik pulih, transit itu akan diberikan secara percuma kepada golongan asnaf yang lebih layak.

Untuk membaca artikel lain berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca