Asam Pedas Dan Siakap 3 Rasa Paling Padu Di Restoran Selera Rose

Selalunya bila sebut sahaja asam pedas, pasti semua terbayangkan asam pedas Melaka. Tidak dinafikan, asam pedas di bandar raya bersejarah itu memang sedap dan lain daripada yang lain. Dalam erti kata lain, susah nak jumpa asam pedas sesedap itu kalau bukan dekat Melaka.

Bagi ‘hantu’ asam pedas yang tinggal berdekatan dengan Semenyih, kami ada berita baik untuk anda! Anda tidak perlu habiskan masa, tenaga dan wang ringgit untuk pergi ke Melaka semata-mata untuk mendapatkan asam pedas kerana salah satu tempat makan sedap di Semenyih iaitu Restoran Selera Rose ada menawarkannya dalam menu mereka.

Apa yang penting adalah rasa asam pedas di restoran ini boleh bikin anda termimpi-mimpi. Terdapat empat pilihan iaitu set asam pedas sotong, set asam pedas udang, set asam pedas pari dan juga set asam pedas kembong.

Paling mendapat sambutan ramai adalah sotong dan udang kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding tempat lain. Malah, udang dan sotong yang digunakan sangat segar dan saiznya juga cukup besar. Kesemua set ini datang dengan nasi dan telur masin serta sambal belacan. Memang padu habis!

Selain asam pedas, satu lagi menu yang cukup popular di Restoran Rose ialah siakap 3 rasa. Kebiasaannya, restoran-restoran lain tidak akan meletakkan harga tetap untuk juadah ini dalam menu mereka memandangkan ia selalunya akan dicaj mengikut berat ikan itu sendiri. Menariknya, Restoran Rose menawarkan harga tetap untuk juadah siakap 3 rasa dan ia tersenarai dalam menu unlimited offer mereka.

Rangup di luar dan berjus di dalam, itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan juadah siakap 3 rasa di Restoran Selera Rose. Saiz ikan siakap yang digunakan pula adalah antara 500 gram ke 600 gram. Senang cerita, anda memang tidak akan jumpa harga sebegini untuk juadah sesedap ini di restoran lain.

Berikut adalah lima menu lain yang anda wajib cuba jika berkunjung ke Restoran Selera Rose:

1. Tomyam Ketam

Tomyam ketam di Restoran Selera Rose adalah salah satu menu yang wajib anda cuba kerana tidak semua restoran menawarkan juadah ini. Ketam yang digunakan cukup besar dan penuh dengan isi. Tiada istilah ketam kurus di restoran ini. Air yang turun daripada ketam itu sendiri menjadikan kuah sangat sedap dan penuh dengan perisa. Kami berani jamin, pasti habis licin kuah anda hirup nanti!

2. Sizzling Yee Mee

Apabila anda menjejakkan kaki ke Restoran Selera Rose, anda akan mendapati sizzling yee mee akan ada di hampir setiap meja pelanggan kerana ia merupakan salah satu menu paling top di sini.

Saiz hidangan ini pula memang banyak dan mampu bikin anda kenyang sampai esok. Tidak seperti di restoran lain, sizzling yee mee di Restoran Selera Rose datang dengan kuah yang cukup pekat dan ‘sarat’ dengan perisa. Cuba sekali pasti nak lagi!

3. Burger Crispy

Burger crispy ini bukan calang-calang burger kerana dagingnya merupakan isi ayam yang disalut dengan tepung dan digoreng rangup. Rasanya seakan-akan Spicy Chicken McDeluxe di Mc Donald’s tetapi ia jauh lebih sedap dan semestinya lagi murah. Daging ayamnya cukup berjus meskipun luarannya digoreng rangup. Set burger ini datang bersama kentang goreng dan juga air. Murah habis, kan?

4. Mixed Grill

Dalam kehidupan ini, kita sering mengalami situasi di mana kita tidak boleh membuat keputusan antara dua perkara. Sekiranya anda berdepan dengan situasi harus memilih sama ada grill daging kambing atau lembu, anda tidak perlu runsing lagi kerana di Restoran Selera Rose, mixed grill sedang menanti anda. Mixed grill terdiri daripada daging kambing dan juga lembu gril yang disiram dengan kuah lada hitam.

5. Sup Padu Kambing

Sekiranya anda penggemar daging kambing, anda wajib cuba menu ini kerana ia memang padu seperti namanya. Jika sebelum ini anda tidak menggemari kambing kerana baunya yang hamis, anda tidak perlu risau kerana sup padu kambing di Restoran Selera Rose langsung tidak berbau.

Selain itu, dagingnya cukup empuk kerana ia dimasak lama. Jadi, tiada lagi insiden daging terpelanting keluar daripada mangkuk selepas ini.

Jika coretan di atas tidak cukup untuk meyakinkan anda, anda boleh tonton video di bawah dan lihat sendiri team Lejen TV menikmati hidangan di Restoran Selera Rose. Kalau sampai meleleh air liur, jangan salahkan kami!

Restoran Selera Rose
Masa: 4.30 petang – 12.00 tengah malam (Setiap hari)
Lokasi: 62, Jalan TPS 1/7, Taman Pelangi Semenyih, 43500 Semenyih, Selangor

Jika hanya pergi berdua, memang pecah perut kalau pesan semua makanan di atas. Jadi, kami syorkan anda tiga menu wajib iaitu siakap 3 rasa, tomyam ketam dan sizzling yee mee.

Jadi, kalau anda mencari kedai makan di Semenyih yang menyediakan juadah asam pedas, siakap 3 rasa, tomyam ketam dan lain-lain seperti kami senaraikan di atas, Restoran Selera Rose semestinya destinasi terbaik untuk memenuhi selera anda. Untuk maklumat lanjut, anda boleh pergi ke laman Facebook dan juga Instagram Restoran Selera Rose. Selamat menjamu selera!

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca