Asal Usul Permainan Dam Ular Yang Ramai Tak Tahu

Sewaktu korang kecil, pasti korang pernah main dam ular dengan kawan-kawan atau keluarga kan? Permainan dam ular ini sememangnya mudah dimainkan oleh setiap lapisan umur.

Walaupun permainan ini ramai yang tahu tetapi korang pernah tahu tak asal usul permainan ini? Bagaimana ia tercipta? Untuk pengetahuan korang, dam ular dicipta oleh masyarakat India Kuno dan bukannya dimainkan secara hiburan semata-mata.

Kami kongsikan asal usul permainan dam ular yang ramai tidak tahu.

Permainan Pengetahuan

Permainan dam ular dikenali dengan beberapa nama lain iaitu ‘Mokshapat’, ‘Moksha Patamu’ atau ‘Gyan Chaupar’ yang bermaksud permainan pengetahuan. Permainan ini berasal daripada agama Hindu. Menurut pakar sejarah, mereka telah membuat andaian bahawa permainan ini telah dimainkan di India seawal ke-2 Masihi lagi.

Gyan Chaupar ini sudah menjadi permainan papan dadu yang sangat popular dalam kalangan kanak-kanak ketika era India purba lagi. Walaupun ia dikatakan permainan Gyan Chaupar ini sama dengan permainan dam ular pada masa kini, namun papan dan objektif utama permaianan ini sangat berbeza. Bilangan kotak dalam permainan Gyan Chaupar mempunyai beberapa versi yang berbeza tidak seperti dam ular masa kini.

Mempunyai Prinsip Agama Hindu

Gyan Chaupar mempunyai 27 kotak manakala dam ular moden mempunyai 100 kotak. Walaupun mempunyai perbezaan bilangan kotak tetapi ‘tangga’ dan ‘ular’ ditempatkan di tempat yang seakan-akan sama. Contohnya, Gyan Chaupar mempunyai 27 kotak di mana nombor bagi 24, 44 dan 55 mempunyai maksud tersembunyi iaitu bernasib buruk, mempunyai pengetahuan yang palsu dan ego.

Permainan ini memberikan penekanan yang besar dalam prinsip karma dalam agama Hindu, di mana setiap petak ‘ular’ mempunyai kesan yang sama dan mewakili perkara buruk seperti sombong, ilusi dan hawa nafsu.

Namun, dari sudut lain, kotak bernombor 10, 28 dan 46 bermaksud kesucian, kepercayaan dan hati murni. Permainan ini mempunyai matlamat iaitu untuk mencapai nombor 68 yang mewakili dewa Shiva.

Diadaptasi Dalam Agama Lain

Permainan ini telah menjadi popular sehingga ia juga telah diadaptasi dan disesuaikan dengan agama-agama lain. Antara agama yang mengadaptasi permainan ini adalah Jainisme, Buddhisme dan juga Islam.

Walaupun isi kandungannya berbeza, namun ia tetap mengekalkan konsep yang mewakili sebab dan akibat, dosa dan pahala serta balasan baik dan hukuman.

Untuk pengetahuan korang, permainan ini dimainkan sebagai salah satu bentuk meditasi dan latihan komunal. Boleh dikatakan setiap dam ular dan Gyan Chaupar berbeza mengikut agama adalah salah satu karya seni dalam bidang mereka sendiri. Hal ini kerana papan permainan ini mempunyai ilutrasi yang agak rumit mengenai seni bina, tokoh manusia, floran dan fauna.

Permainan Moden

Gyan Chaupar ini telah menjadi permainan dam ular atau snakes and ladders moden menjelang abad ke-19 apabila ia diperkenalkan kepada Great Britian oleh penguasa kolonial India. Walaupun permainan asal masih sama, tetapi mesej dan falsafah yang tersirat di dalam permainan ini sudah tidak digunakan lagi atau ramai yang tidak tahu mengenainya.

Sebagai contoh, penerapan agama digantikan dengan lukisan kartun yang dikaitkan dengan ular dan tangga. Manakala bilangan ular dan tangga juga telah menjadi banyak berlainan dengan Gyan Chaupar yang mana memiliki ular yang banyak berbanding dengan tangga.

Gyan Chaupar cuba menerapkan kepercayaan bahawa lebih mudah seseorang itu menjadi mangsa nafsu berbanding menegakkan keadilan.

Jadi apa pendapat korang tentang permainan ini?

Sumber: Medium dan I See India

Artikel Lain Untuk Di Baca