Asal Usul Kuih ‘Cik Abas Demam’

Sekiranya anda bercuti ke Kuala Terengganu, jangan lupa untuk menikmati juadah warisan bagi negeri penyu bertelur ini! Juadah yang dikatakan itu adalah kuih Cik Abas Demam. Kuih warisan ini dipercayai berusia lebih daripada seratus abad.

Kuih Cik Abas Demam pada asalnya merupakan gurauan kepada seorang lelaki yang bernama Abas, dari Sarawak. Pak Abas menetap di kampung Maras. Kisah ini telah bermula di sebuah perkampungan nelayan di Terengganu.

Sepasang suami isteri bernama Abas dan Ramlah yang hidup di sebuah perkampungan nelayan telah menyediakan sejenis hidangan istimewa buat si suami yang tiada selera makan akibat demam. Si isteri pula aktif membuat keropok hasil tangkapan ikan yang diperoleh daripada si suami.

Akibat terlalu risau akan keadaan yang berlaku terhadap si suami, si isteri telah menyediakan pelbagai jenis juadah. Namun begitu, si suami masih tidak berselera untuk menjamah juadah yang telah dimasak. Pada suatu hari, si isteri mendapat satu idea sejurus selesai memproses keropok lekor.

Tepung kanji lebihan daripada membuat keropok tersebut diambil dan dibancuh bersama air panas. Kemudian, si isteri mengacau adunan tersebut sehingga pekat dan dibiarkan sejuk. Sementara itu, sebiji kelapa telah diparut untuk dibuat santan.

Si isteri mengambil lebihan ikan yang ada kemudian membakarnya. Isi ikan tersebut telah diasingkan daripada tulangnya dan ditumbuk sehingga lumat. Tepung kanji yang telah disejukkan sebentar tadi dipotong kecil-kecil kemudian dicampurkan sekali bersama santan dan isi ikan tadi.

Bagi membangkitkan aroma kuihnya, si isteri telah menghiris bawang merah serta halia. Si isteri juga telah memasukkan sedikit halba dan kemudian si isteri menunggu sehingga mendidih.

Setelah selesai, si isteri membawa makanan tersebut kepada si suami. Pada mulanya, si suami masih tidak berselera. Namun, selepas disuap oleh si isteri, selera si suami terus terbuka. Habis semangkuk kuih itu dimakan oleh si suami.

Dengan perasaan gembira, si isteri kemudiannya mengagihkan kuih tersebut kepada penduduk kampung. Secara tidak sengaja kuih itu dinamakan sebagai kuih Cik Abas Demam setelah didesak oleh penduduk kampung.

Melalui kisah inilah kuih Cik Abas Demam mendapat nama dan dijadikan sebagai kuih warisan yang terkenal di Terengganu. Juadah tradisi ini dikatakan masih menjadi makanan kegemaran masyarakat Terengganu sehingga kini.

Penulis:

  • Nur Alisa Farhana Binti Mohd Zukari adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca artikel lain berkaitan makanan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca