Asal Usul Aiskrim Dan Sejarah Kedatangannya Di Malaysia

Makan aiskrim memang sedap terutama ketika cuaca panas lit lit. Pernahkah anda terfikir dari mana asal usul aiskrim?

Jika ada banyak benda lain lagi nak fikir, kami sedia tolong fikirkan untuk anda. Begini ceritanya:

Aiskrim Bermula Di China

Ramai sejarawan bersetuju bahawa penciptaan aiskrim bermula pada 3,000 tahun yang lalu di China. Rakyat China masa tu ambil salji campur dengan nasi dan susu untuk membuat sejenis manisan. Manisan itu juga merupakan makanan diraja masa zaman itu.

Tahun demi tahun, resipi itu ditambah baik dengan macam-macam perisa. Aiskrim semakin popular apabila sirap, tepung dan kapur barus dicampur dengan aiskrim untuk dapatkan rasa yang lebih manis.

Sewaktu China diperintah orang Mongol, terdapat banyak kedai yang jual aiskrim di seluruh bandar.

Marco Polo, seorang penjelajah dari Itali datang ke China semasa zaman pemerintahan Kublai Khan. Dia nampak orang buat aiskrim lalu bawa balik resipi aiskrim itu ke Itali.

“Wahai orang kampung sekalian, ini ada ais batu made in China. Rasanya manis sekali. Ini kita panggil… Sherbet.” Bayangkan lebih kurang begitulah Marco Polo memperkenalkan aiskrim kepada rakyat Itali. Di sana, aiskrim dikenali sebagai sherbet.

Resipi itu berevolusi menjadi aiskrim sepenuhnya pada abad ke-16 dan tersebar ke seluruh Eropah. Raja England pada masa itu dipercayai membayar gaji chef mahal-mahal hanya untuk simpan rahsia teknik penyediaan aiskrim.

Aiskrim Menjadi Kegilaan

Aiskrim pertama sampai di Amerika (atau dipanggil New World ketika itu) pada tahun 1744. Pengiklan mengambil masa selama 30 tahun untuk komersialkan aiskrim. Pada tahun 1777, barulah aiskrim boleh didapati setiap hari di kedai.

Presiden pertama Amerika Syarikat, George Washington menghabiskan kira-kira $200 untuk makan aiskrim saja semasa musim panas pada tahun 1790.

Aiskrim terus menjadi manisan eksotik dan ‘rare’ yang kebanyakannya dinikmati oleh golongan elit.

Dipendekkan cerita, industri aiskrim terus berkembang secara drastik dengan bantuan teknologi seperti peti sejuk, kuasa elektrik, mesin dan sebagainya.

Kedatangan Aiskrim Di Malaysia

Menurut tulisan Alan Teh Leam Seng dalam akhbar New Straits Times (NST), aiskrim pertama kali diperkenalkan secara besar-besaran oleh syarikat Cold Storage Ltd yang bertapak di Singapura.

Pembuatan aiskrim secara komersial di Malaya bermula pada tahun 1923 apabila Cold Storage mengasaskan jabatan susu dan aiskrim yang pertama di Singapura sebelum datang ke Kuala Lumpur beberapa tahun kemudian. Ketika itu, produk aiskrim dipasarkan bawah tanda perniagaan Paradise yang ada logo burung cenderawasih.

Pembuatan aiskrim juga menjadi lebih moden apabila kilang diciptakan untuk menghasilkan cecair dan pepejal karbon dioksida, bahan penting untuk menurunkan suhu agar terciptanya aiskrim.

Kemudian, Paradise tersebut berjaya dijenamakan semula menjadi Magnolia. Pada sekitar tahun 1930-an, terdapat banyak kedai aiskrim dan kafe yang trendy di Singapura dan Kuala Lumpur di mana menjadi tempat pertemuan popular bagi komuniti orang Eropah yang tinggal di Malaya.

Sewaktu tentera Jepun ‘menyerbu’ Malaya, pekerja-pekerja yang berdedikasi diceritakan mempertaruhkan nyawa bagi menyorok segala peralatan pembuatan aiskrim daripada jatuh ke tangan musuh.

Setelah Jepun menyerah kalah dan British kembali pada tahun 1945, penghasilan aiskrim diteruskan semula dengan menggunakan mesin yang lebih canggih.

Pasca Perang

Selepas tamat perang, ramai penjual aiskrim yang berjalan melalui jalan-jalan belakang di pekan dan jalan kampung bagi menjual aiskrim Magnolia kepada rakyat Malaya.

Mereka mudah dicam oleh pelanggan kerana memakai uniform seperti seluar khaki, kemeja putih, berkasut getah dan kebanyakannya bersongkok.

Pada lewat tahun 1970-an, aktiviti penjualan aiskrim secara tradisional oleh penjual aiskrim ini menurun kerana pengenalan peti sejuk di rumah dan jualan aiskrim yang siap dibungkus cantik di pasar raya.

Kini, kedai aiskrim popular di dunia seperti Baskin Robbins, Swensens, dan Haagen Dazs ini kelihatan di mana-mana di ibu kota Malaysia, namun Magnolia kekal menjadi sebahagian sejarah aiskrim di Malaysia.

Artikel Lain Untuk Di Baca