‘Apple Pippin’, Konsol Permainan Video Pertama Apple Yang Gagal!

Apple, satu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Dengar sahaja nama Apple, kita akan teringat kepada gajet-gajet keluaran mereka yang begitu hebat seperti iPhone, iPad dan iPod. Namun, adakah anda semua tahu yang Apple pernah terlibat dalam penghasilan konsol permainan video?

Pada pertengahan tahun 90-an, Apple dengan kerjasama sebuah syarikat dari Jepun, Bandai telah menghasilkan satu konsol permainan video yang mampu menggegarkan industri tersebut. Bandai sebelum ini pernah mengeluarkan konsol permainan video, Playdia namun gagal di pasaran. Oleh itu, Bandai mengharapkan kerjasama bersama dengan Apple ini mampu menghasilkan sebuah konsol yang hebat.

Konsol yang kononnya hebat itu ialah Apple Pippin yang mula dijual di Jepun pada tahun 1995, dan di Amerika pada 1996. Selain dapat bermain permainan video, Apple Pippin juga menawarkan perkhimatan Internet serta alat pendidikan. Apple Pippin menggunakan format CD-ROM bagi permainan video tersebut. Bagaimanapun, percubaan pertama Apple di dalam industri ini ternyata gagal. Kenapa pula boleh gagal?

Di saat Apple Pippin memasuki pasaran, sudah ada beberapa konsol permainan video lain yang turut dipasarkan. Antaranya termasuklah Playstation 1 (Sony), Nintendo 64 (Nintendo) dan Sega Saturn (Sega). Senang cerita, Apple Pinpin perlu bersaing dengan konsol-konsol tersebut. Persaingan yang cukup sengit ini menyaksikan Apple Pinpin hanya mampu terjual kurang daripada 45,000 unit sahaja sepanjang hayatnya iaitu selama dua tahun. Satu angka yang cukup menyedihkan berbanding dengan jualan Sony Playstation 1 yang telah terjual sebanyak 100,000 unit hanya pada hari perasmian konsol itu.

Bagaimanapun, pada 1 April 2013, Apple secara tiba-tiba mengeluarkan konsol permainan video yang terbaharu iaitu iPlay. Konsol iPlay ini boleh ditonton di saluran YouTube IGN. Namun, ia hanyalah gimik April Fool daripada IGN.

Adakah suatu hari nanti Apple benar-benar akan kembali dengan konsol permainan video yang terbaharu? Lebih baik fokus kepada iPhone sajalah, takut nanti pisang berbuah dua kali pula.

Penulis

  • Farid Bin Ahmad Saleh adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca