Aplikasi MySejahtera Jadi Pertikaian Warganet Di Saat Kes COVID-19 Dalam Negara Kembali Meningkat

Penularan wabak COVID-19 yang sudah kembali menunjukkan peningkatan kes positif telah menyebabkan aplikasi MySejahtera menerima kritikan dalam kalangan pengguna media sosial apabila keberkesanannya mula dipertikaikan warganet.

Seperti yang kita sedia maklum, aplikasi ini bukan sahaja membantu dalam pengawasan penularan wabak dalam negara dan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri, namun turut membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan maklumat awal untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.

Tinjauan kami di laman Twitter mendapati rata-rata warganet mendakwa bahawa aplikasi MySejahtera tidak memaparkan keadaan semasa berkaitan penularan wabak itu di premis yang dimasukkan mereka ke dalam aplikasi pengesanan kontak itu.

Bukan sahaja didakwa tidak memaklumkan dengan tepat sesuatu premis mempunyai kes berkaitan COVID-19, malah warganet juga turut menyatakan kegusaran mereka mengenai pemberitahuan jika mereka disyaki sebagai kontak rapat kepada sesuatu kes.

Pemberitahuan untuk menjalankan saringan dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya disyaki berhubung dengan individu atau premis yang mempunyai kes kebanyakannya hanya boleh diketahui melalui laman sosial dan berita.

Rungutan yang berlaku ini adalah disebabkan aplikasi MySejahtera sepatutnya memaklumkan jika tempat-tempat yang dilawati pengguna sebelum ini disyaki mempunyai kaitan dengan penularan wabak COVID-19 dan bukannya mereka perlu mengetahui perkara tersebut melalui sumber lain.

Disebabkan itu, warganet memberikan cadangan agar aplikasi MySejahtera ini ditambah baik dan memaklumkan kepada pengguna sekiranya premis atau kawasan yang pernah dan akan dilawati mereka mempunyai risiko penularan COVID-19.

Sementara itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengeluarkan satu kenyataan di akaun media sosial mereka.

“Untuk makluman semua, sesuatu kawasan dikatakan ada kes selepas siasatan terperinci oleh KKM.

“Kawasan yang menunjukkan terdapatnya kes setelah mengesahkan punca jangkitan atau kebolehjangkitan.

“Oleh itu kesemua pusat membeli-belah bukan merupakan punca jangkitan mahupun ada potensi penyebaran virus COVID-19,” jelas mereka.

Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca