Aplikasi FaceApp: Adakah Foto Anda Selamat?

Aplikasi FaceApp yang dibangunkan di Rusia oleh syarikat Wireless Lab telah mengalami arus lonjakan populariti yang hebat sejak kebelakangan ini.

Sehingga kini 100 juta orang telah memuat turun aplikasi berkenaan di Google Play dan ia juga adalah aplikasi paling popular di iOS App Store di 121 negara.

Aplikasi FaceApp yang berusia dua tahun itu telah mencetuskan pelbagai isu berkaitan privasi maklumat penggunanya.

Malah, kebimbangan itu telah menjadi perhatian di laman media sosial minggu ini, dengan kebangkitan aplikasi telefon pintar yang menggunakan kecerdasan buatan untuk mengubah wajah semasa anda kepada lebih muda ataupun tua.

FaceApp akan dapat melihat dan memuat turun semua foto anda termasuk tangkapan skrin dengan maklumat kewangan, kesihatan atau latar belakang.

Memetik laporan TechCrunch, aplikasi berkenaan tidak mempunyai akses kepada foto anda yang disimpan di dalam telefon tanpa kebenaran. Namun, ia mempunyai akses kepada setiap foto wajah anda yang dimuat naik ke aplikasi tersebut untuk disunting.

Tambahnya lagi, FaceApp boleh menyimpan foto yang disunting di dalam pengkomputeran awan, biarpun selepas pengguna memilih untuk tidak berkongsi foto berkenaan.

Dalam kenyataan balas kepada TechCrunch, FaceApp menjelaskan, “Kebanyakan imej akan dipadam daripada pelayan (server) kami dalam masa 48 jam selepas ia dimuat naik.”

TechCrunch menegaskan frasa ‘kebanyakan’ dan bukan ‘semua imej’ sementara FaceApp pula menjelaskan, aplikasi itu tidak berkongsi dan menjual data pengguna kepada pihak ketiga.

Namun, menurut syarat penggunaan (terms of service), pengguna akan membenarkan syarikat berkenaan untuk menggunakan imej, nama, suara dan juga akan mengenal pasti identiti pengguna.

Jika anda bersetuju dengan terma tersebut, anda telah membenarkan FaceApp menggunakan imej anda yang disimpan dalam pengkomputeran awannya untuk apa jua aktiviti dengan tanpa royalti sampai bila-bila dan tidak boleh di tarik balik.

Dasar privasi FaceApp juga mengatakan ia menggunakan data daripada aplikasi untuk menyampaikan iklan yang disasarkan dan untuk membangunkan produk dan ciri baru. Ia mengatakan ia tidak menjual data kepada aplikasi pihak ketiga, tetapi menyenaraikan banyak pengecualian termasuk yang membolehkannya berkongsi data selepas mengeluarkan maklumat yang mengenal pasti pengguna.

Dalam anda berseronok melihat wajah anda yang pelbagai umur itu, baiknya anda mengambil langkah berjaga-jaga dalam menggunakannya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca