“Berhenti. Berhenti pergilah, help them!”
Spontan saya menuturkan ayat tersebut apabila melihat wajah si penunggang motor yang sudah tersembam dipenuhi darah dan mencium jalan highway yang panas; dikelilingi rakan-rakannya yang panik dan dua orang awam yang cuba membantu. Suami saya telah menoleh ke kanan untuk melihat kemalangan tersebut.
Kemalangan ini baru sahaja terjadi.
Suami saya memberi signal, kemudian meletakkan kereta di bahu jalan, keluar dari pintu dan bergegas ke arah tempat kejadian. Saya pula memasang lampu kecemasan sambil meriba Iyaad yang masih menyusu badan.
Bukan sekali dua seperti ini. Jika ada kemalangan dan masih tidak ramai orang yang ada, suami saya akan turun dan cuba beri bantuan sebagai pegawai perubatan. Jika sudah kelihatan sesak dan terkawal, kami akan teruskan perjalanan.
Cuma yang agak saya kesalkan kali ini, insiden ini sebenarnya boleh sahaja dielakkan jika mereka berfikir dengan lebih matang, tidak pentingkan diri dan tidak terlalu mengikut nafsu untuk bersuka ria menunjukkan skill di jalan raya.
Baru sebentar kami keluar dari kawasan rehat dan rawat (R&R) Nilai arah Selatan, sekumpulan motor berbelas-belas buah berkonvoi di hadapan kami. Tidak sedap hati apabila lihat mereka menunggang bersimpang siur secara merbahaya.
“Ini kalau jadi apa-apa bukankah menyusahkan ramai orang?”
Saya membebel. Dan tidak sampai 1 minit ke hadapan, salah seorang tidak dapat mengawal motor, dan seorang lagi melanggarnya. Dan kami antara yang awal tiba di tempat kejadian.
“Ya Allah. Anak muda.”
Walau bagaimanapun, terbit kasihan dan simpati di hati. Mengenangkan keluarganya nanti bagaimana akan bersedih melihat situasi ini. Jika dia tidak terlibat dalam kumpulan ini, alangkah malangnya menjadi mangsa keadaan. Sebaliknya, jika bukan sekalipun dia yang melakukan aksi, akibat keterujaan dan ‘suka-suka’ sebilangan rakannya, akhirnya jadi bahana yang memakan diri. Bukan sekali dua perbuatan yang dilakukan, tetapi banyak kali kononnya sekadar mencuba sudahnya membawa banyak lagi masalah.
Saya yang berada di tempat kejadian segera menelefon 999. Memberi maklumat dan mohon ambulance dihantar. Operator talian meminta kilometer kejadian, tidak nampak pula mata rabun saya melihat tanda km lebuhraya dari tempat duduk. Terpaksa saya berhenti menyusukan anak, mendukung anak dan keluar untuk menjenguk tanda km terdekat.
Ketika itulah saya melihat dari jauh suami saya, yang berbaju biru, sedang melalukan CPR (satu teknik yang boleh menyelamatkan nyawa seseorang, tanpa menggunakan alat-alat canggih yang boleh diperolehi di hospital). Ini tanda tidak baik. Mungkin sahaja pulse (jumlah denyutan jantung) telah tiada atau vital signs (memeriksa denyut nadi) telah merudum semuanya. Saya mengangkat telefon, pantas merakam moment ini ketika saya melihat Encik Johan berlari ke arah saya dan meminta stethoscope suami saya di ruang simpanan belakang kereta.
Encik Johan bersama kakaknya Dr Nita yang paling awal berhenti melihat kejadian tersebut. Mereka juga dalam perjalanan ke Seremban seperti kami. Bergegas saya membuka bonet kereta, menyerahkan beg hitam yang biasa dibawa suami ke sana sini.
Setelah itu, saya masuk semula ke dalam kereta. Memerhatikan Imran dan I’jaaz masih tidak habis lagi melihat tindakan ayah mereka sambil menambah elemen drama dalam telefon.
“Nanti belajar rajin-rajin, bila korang dah besar boleh tolong orang waktu kecemasan macam ayah ni.”
“Tapi Imran nak jadi polis!” Imran menegaskan.
Saya katakan polis juga diperlukan saat begini. Tidak lama selepas itu polis tiba dan disusuli ambulance. Saya jenguk dari tempat duduk. Jalan memang sudah jem teruk selepas lebih setengah jam kemalangan terjadi. Kemudian ambulance melintas lalu di sebelah kereta kami.
Beberapa ketika selepas itu, Encik Johan mengetuk cermin kereta saya memaklumkan suami saya sudah menaiki ambulance bersama kakaknya ke Hospital Besar Seremban.
“Can you drive? Do you have anyone to accompany your kids?”
Saya katakan saya boleh memandu tetapi tidak ada orang lain bersama. Mujur isteri beliau turun dan menemankan saya. Di dalam kereta mereka selain isterinya turut ada ibunya dan anak-anaknya. Saya meneruskan pemanduan ke rumah mertua.
Setelah sampai, kami dimaklumkan patient sudah di hand over ke red zone emergency. Saya dan isteri Encik Johan, Puan Azreen menunggu dirumah sehingga urusan semua selesai. Kemudian Encik Johan menghantar suami saya pulang dan sempat pula kami beramah mesra sekeluarga sambil menikmati teh o, sardine puff dan kek lapis yang dihidangkan ibu mertua saya.
Dari peristiwa ini kami dapat bersilaturrahim dengan satu keluarga baru. Walaupun begitu tangan, baju dan seluar suami berdarah lagi, sebagaimana berdarahnya hati mengetahui anak muda yang berumur 23 tahun itu hakikatnya adalah aset negara di masa hadapan.
Bila difikirkan kembali, banyak lagi golongan yang kita belum mampu tolong. Sejauh mana daripada kita yang sanggup turun berceramah jam 12 malam, memberi kasih dan memperingatan dengan membawa pula hadiah cabutan bertuah helmet dan sarung tangan?
Bukan mengata sesiapa. Tetapi hanya mahu bermuhasabah diri sendiri. Alangkah baiknya jika mereka tahu nilai dan harga sebuah nyawa.