Apakah Generasi Anda? Millenial, Generasi X Atau Z

Kita sering dengar tentang Millenial (dikenali sebagai Generasi Y), Generasi X, Baby Boomers dan Generasi Z, tetapi ia tidak selalu jelas siapa sebahagian daripada kumpulan ini.

Istilah Millenial, Generasi X, Baby Boomers dan Post-Millenial digunakan untuk merujuk kepada kelompok generasi dalam kumpulan umur tertentu. Pusat Penyelidikan Pew membahagikan demografi penduduk kepada beberapa kelompok berikut:

Baby Boomers: Lahir antara 1946-1964
Generation X: Lahir antara 1965-1980
Millennials (Generasi Y): Lahir antara 1981-1996
Post-Millennials (Generasi Z): Lahir antara 1997 hingga kini

Baby Boomers (Lahir antara 1946-1964)

Generasi “The Baby Boom” adalah generasi yang lahir antara tahun 1946 hingga 1964. Istilah “baby boom” digunakan Don Tapscott merujuk pada kadar kelahiran yang tinggi selepas Perang Dunia Kedua. Sewaktu peperangan, ramai pasangan menangguhkan kelahiran disebabkan faktor kesusahan semasa perang.

Mereka adalah kelompok generasi yang idealis. Generasi ini hidup berdikari dan tidak lagi terlalu bergantung kepada keluarga. Mereka juga mementingkan kerjaya atau pekerjaan.

Generasi X (Lahir antara 1965-1980)

Selepas era “The Baby Boom”, kadar kelahiran di Amerika Syarikat turun dengan mendadak. Terma “the baby bust”, istilah yang sering diberikan kepada “Generation X”, mengambil tajuk novel Douglas Coupland, “Generation X:Tales for an Accelerated Culture.”

Generasi ini diiktiraf sebagai yang mempunyai keupayaan untuk mengimbangi etika kerja yang kuat dengan sikap santai dan dikaitkan dengan konsepsi genre muzik seperti punk, indie, grunge dan techno. Generasi X ialah generasi internet.

Generasi X menganggap internet sebagai media yang tidak memerlukan kepakaran (nonspecialist media). Sesiapa saja boleh gunakan internet dan melahirkan pandangan mereka.

Millenial atau Generasi Y (Lahir antara 1981-1996)

Walaupun ramai yang secara terang-terangan menggambarkan semua orang muda sebagai generasi millenial, istilah ini sebenarnya difahami merujuk kepada mereka yang lahir bermula dari awal 1980-an hingga pertengahan 1990-an dan awal tahun 2000an.

Istilah yang lebih teknikal untuk milenium adalah generasi Y, kerana mereka selepas generasi X dan mendahului generasi Z.

Pada zaman ini, penggunaan komputer semakin berkembang, ditambah lagi dengan pelbagai gajet, telefon pintar, dan permainan video. Kecanggihan internet membuatkan mereka mudah mendapatkan info terkini dengan pantas.

Pola pemikiran dan karakter generasi Y ini semakin kreatif dan berinovasi. Golongan ini gemar bertanya dan jika mereka merasakan sesuatu pekerjaan itu tidak sesuai untuknya, mereka lebih rela berhenti dan mencari pekerjaan yang sesuai dengan jiwanya.

Antara ciri-ciri yang ketara dalam kalangan “Generasi X” dan “Generasi Y” ialah mereka inginkan kebebasan membuat pilihan dan bersuara, menghargai keterbukaan, ketelusan dan integriti, cenderung kepada “collaboration” dan hubungan antara satu sama lain; interaktif dan inginkan sesuatu secara pantas.

Post-Millenial atau Generasi Z (Lahir antara 1997 hingga kini)

Generasi ini adalah peralihan daripada generasi Y, sedang mengalami perkembangan teknologi.
Pola pemikiran mereka lebih cenderung untuk serba pantas.

Mereka juga mendapat banyak perhatian dalam media baru-baru ini kerana pandangan mereka yang kuat mengenai politik dan hal ehwal semasa, terutama di Amerika Syarikat.

Ya, setiap generasi mempunyai perbezaan tertentu mengikut peredaran waktu. Jadi, anda daripada generasi yang mana satu?

Artikel Lain Untuk Di Baca