Tahukah anda sesumpah merupakan sejenis reptilia yang mempunyai kekuatan untuk berpegang atau berpaut dengan kuat pada sesuatu objek walaupun berlaku hujan ribut? Sesumpah adalah sejenis haiwan yang sangat unik dan ia dapat ditemui di Afrika, Eropah, Asia dan Amerika Utara. Dianggarkan terdapat lebih 160 spesis sesumpah di dunia. Selain itu, haiwan ini juga mempunyai kemampuan untuk hidup di dalam hutan dan juga padang pasir.
Namun, rata-rata daripada kita pasti mengetahui akan kemampuannya untuk menukar warna kulitnya bagi tujuan penyamaran, malah bukan itu sahaja, sesumpah boleh menukar warna pada kulitnya sebagai refleksi pada keadaan sekeliling, suhu dan emosinya. Walau bagaimanapun, kemampuan sesumpah untuk bertukar warna kulitnya ini sentiasa menarik minat para saintis untuk mengetahui mekanisma disebaliknya.
Mengikut kajian, sesumpah bukanlah haiwan yang bergerak perlahan. Malah, haiwan ini mampu berlari pada kelajuan 34 km/jam, ia membolehkan mereka melarikan diri daripada pemangsa dengan mudah. Oleh itu, sesumpah bertukar warna kulit sebagai teknik penyamaran ini hanyalah pilihan kedua mereka untuk menyelamatkan diri daripada pemangsa.
Sesumpah juga berkebolehan melihat dalam sudut 360 darjah bagi membolehkan ia memerhatikan pemangsanya tanpa bergerak walau seinci pun. Ini jelas menunjukkan bahawa sesumpah peka pada persekitaran sekelilingnya.
Di samping itu, para saintis percaya bahawa sesumpah bertukar warna kulitnya sebagai ekspresi mood mereka. Perkara ini kerana, ia mampu memberi signal kepada sesumpah lain yang berdekatan dengannya. Sebagai contoh, pertukaran kepada warna gelap menunjukkan ia sedang marah. Warna cerah pula biasanya digunakan untuk menarik perhatian sesumpah lain yang berlainan jantina.
Seterusnya, sesumpah juga bertukar warna kulit untuk menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca dan suhu. Sebagai contoh, sesumpah yang berada dalam kesejukan biasanya akan menukar kulitnya kepada warna gelap untuk menyerap lebih banyak haba bagi memanaskan dirinya
Walau bagaimanapun, kajian terbaru yang dilakukan menunjukkan pigmen warna bukan satu-satunya mekanisma yang digunakan sesumpah untuk menukar warna kulitnya. Walaupun pigmen boleh menukarkan kulit kepada warna suram seperti hijau, tetapi ia tidak dapat membantu sesumpah menukarkan kulit kepada warna terang seperti merah dan kuning.
Sesumpah mempunyai keupayaan untuk mengawal kulitnya dan menyebabkan sel-sel yang berada di bawah lapisan kulitnya berubah. Para pengkaji juga menemui, sel-sel ini berfungsi sebagai suatu prisma yang akan memantulkan cahaya yang mempunyai gelombang yang berbeza. Seterusnya, ia boleh menghasilkan pelbagai warna yang dapat kita lihat.
Dengan melihat keunikan struktur kulit sesumpah sahaja, kita dapat melihat kehebatan ciptaan Tuhan dalam menciptakan setiap makhluknya. Siapa tahu, mungkin pada masa hadapan saintis dapat mencipta sesuatu barangan atau teknologi yang unik berdasarkan penemuan mereka pada struktur kulit sesumpah ini.
Sumber: Scriptersnews, National Geographic